Saturday, June 27, 2026

Sultan Selangor perkenan Sukma diteruskan secara berhemah

Baginda memberi perkenan itu ketika menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu - Taufiq

Mesti Baca

SUKAN Malaysia (Sukma) 2026 yang sebelum ini dicadang ditangguh ekoran krisis global akhirnya diteruskan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda memberi perkenan supaya Sukma Selangor kekal dilangsungkan bermula 15 hingga 24 Ogos ini namun dengan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah ketika menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari, merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku serta mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, yang meletakkan kepentingan atlet-atlet muda negara sebagai keutamaan ketika memutuskan agar Sukma 2026 diteruskan.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan inisiatif perbincangan oleh Perdana Menteri, khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tertinggi.

“Tambahan pula Sukma 2026 ini adalah antara medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara kita pada tahun hadapan,” kata beliau dalam kenyataan, semalam.

Minggu lalu, Sultan Sharafuddin mencadangkan penganjuran Sukma di negeri ini ditangguhkan susulan kos tinggi serta mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan krisis di Asia Barat.

Baginda bertitah, penangguhan itu juga wajar dibuat sehingga projek Stadium Shah Alam siap sepenuhnya bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.

Mohammed Taufiq berkata, beliau telah berbincang berhubung keputusan itu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjanjikan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan penganjuran temasya itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya juga telah menerima perkenan untuk menghadap Tuanku yang dijadualkan pada Rabu, 29 April, bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran Sukma 2026,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dijadualkan pada 30 April ini akan dimanfaatkan Sekretariat Sukma Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan.

Katanya, ini terutama langkah-langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Sultan Selangor.

Mohammed Taufiq berkata, sebarang maklumat tambahan berkenaan Sukma Selangor 2026 akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma diadakan. — Edisi 9

Terkini

Dakwaan Puad serius, tidak bertanggungjawab – Onn Hafiz

“SAYA menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa saya pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak Istana telah “mengarahkan”...

Lagi Artikel Berkaitan