SEORANG lelaki warganegara Pakistan yang dipercayai Orang Kena Tuduh (OKT) yang meloloskan diri daripada kawalan polis pada 9 April lalu berjaya ditangkap semula oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), petang semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, OKT terbabit ditangkap di tempat persembunyiannya di Kilometer 24, Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor.
Menurut beliau, kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama enam hari serta dibantu oleh pihak Kedutaan Pakistan di Kuala Lumpur.
“Semasa kejadian (serbuan), suspek cuba melarikan diri namun berjaya digagalkan oleh pasukan operasi.
“Siasatan awal seterusnya mendapati suspek mengaku telah melarikan diri ketika turun daripada trak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, sepanjang tujuh hari meloloskan diri, suspek mengaku bersembunyi di dalam hutan di sekitar kawasan tapak pembinaan pada waktu siang.
OKT itu katanya, menyelinap masuk ke dalam tapak pembinaan pada waktu malam untuk berlindung dan bermalam berikutan risiko keselamatan serta ancaman binatang buas.
“Selain itu, bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa, suspek memakai pakaian yang dicuri daripada kawasan pembinaan,” katanya.
Zakaria berkata, lelaki terbabit tiba di negara ini pada 11 Januari 2025 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberi kemudahan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.
Katanya, hasil pengecaman wakil Kedutaan Pakistan juga mengesahkan suspek adalah warganegaranya yang meloloskan diri daripada kawalan polis pada 9 April lalu.
“Suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis sedang memburu seorang tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada 9 April lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, sebelum operasi mengesan dan menangkap semula banduan itu dilancarkan segera.
Lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, selain Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kes rompakan dan kesalahan berkaitan Imigresen.
OKT tersebut dilaporkan meloloskan diri daripada kawalan pihak polis selepas selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam di pekarangan Penjara Sungai Buloh ketika dalam proses penghantaran OKT. – Edisi 9

