Tuesday, June 16, 2026

PRK Ayer Kuning: Dua ‘ustaz’ dicabar seorang peguam

Pertembungan tiga penjuru itu antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mesti Baca

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas pencalonan daripada tiga individu bagi pemilihan di kerusi N48 tersebut sebaik tempoh berakhir jam 10 pagi.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya,” katanya.

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, manakala PN diwakili Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, sementara Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40 mewakili PSM.

Pusat penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah dibuka pada jam 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan selama satu jam itu berlangsung dalam keadaan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Mohamad Yusri, berpendidikan peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan Islam mengenakan baju Melayu biru lengkap bersamping tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.05 pagi.

Beliau diiringi oleh Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir memberi sokongan pimpinan komponen Kerajaan Perpaduan iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP Pusat, Nga Kor Ming dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang.

Abd Muhaimin yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Addin Air Kuning diiringi pimpinan tertinggi parti antaranya Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Jurucakap PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Bawani, seorang peguam bertanding buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hadir bersama penyokong dan pencadang masing-masing.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

SPR menetapkan tempoh 14 hari berkempen dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Ayer Kuning adalah seramai 31,897 orang dengan 31,315 merupakan pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.

Sebanyak 19 pusat mengundi biasa membabitkan 63 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran akan digunakan.

Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi selepas memperoleh 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan PSM (586). – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan