Tuesday, July 21, 2026

PRK Ayer Kuning bukan sekadar pertahankan kerusi tetapi…

Sebarang kecuaian dalam komunikasi antara UMNO dan PH boleh menyebabkan pengundi PH “memprotes” secara senyap.

Mesti Baca

Oleh MUHAMMAD ZAFIR MOHD SAMAN

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning 26 April ini bukan sekadar pengisian kekosongan kerusi selepas pemergian Allahyarhan Ishsam Shahruddin.

Namun ia merupakan medan ujian yang lebih besar terhadap kekuatan dalaman Barisan Nasional (BN), kesepaduan gabungan Kerajaan Perpaduan di negeri Perak, serta kebijaksanaan strategi menghadapi perubahan landskap politik pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Secara statistik, ini kerusi “selamat” BN dengan majoriti 2,213 undi dalam PRU-15 lalu, namun dalam politik, angka masa lalu bukan jaminan masa depan. 

Khususnya dalam konteks negeri Perak yang sentiasa menjadi negeri barometer politik nasional negeri yang tidak ekstreab, tetapi cukup sensitif kepada sentimen rakyat.

Negeri Perak: Stabil di Permukaan, Berombak di Dasar?

Kerajaan Negeri Perak kini diterajui oleh Datuk Seri Saarani Mohamad, pemimpin BN yang berjaya membina kestabilan politik melalui kerjaeama rapat dengan Pakatan Harapan (PH). 

Model pentadbiran ini dilihat sebagai contoh politik pragmatik dua gabungan parti politik yang berseteru tetapi kini berganding bahu membentuk kerajaan yang stabil dan berfungsi demi kepentingan rakyat negeri.

Namun, kestabilan politik tidak semestinya diterjemahkan secara automatik kepada undi di peti undi. 

Ini realiti yang perlu difahami sepenuhnya oleh jentera BN dalam mengharungi PRK DUN Ayer Kuning.

Pengundi di Perak, khasnya di kawasan luar bandar seperti Ayer Kuning, mempunyai karakter pengundi yang cukup unik dan terkenal sebagai pengundi realis. 

Para penyokong BN mengiringi calon mereka semasa Hari Penamaan Calon PRK DUN Ayer Kuning.

Mereka menghargai kestabilan, namun dalam masa yang sama tidak akan teragak-agak untuk menghantar isyarat tegas kepada pemerintah jika mereka merasakan suara mereka tidak didengari atau kepentingan mereka diabaikan.

Justeru, adalah satu kesilapan besar sekiranya BN mendekati PRK ini dengan mentaliti “kerusi ini milik kita”. 

Sentimen sedemikian bukan sahaja tidak realistik, malah boleh membawa padah jika mengundang rasa sambil lewa dalam strategi kempen.

BN tidak boleh bergantung semata-mata kepada legasi lama, struktur akar umbi, atau sejarah kemenangan lampau. 

Dalam landskap politik pasca-PRU15 yang serba dinamik dan beremosi tinggi, kempen perlu berpaksikan kepada pendekatan yang lebih menyeluruhdan mendengar denyut nadi rakyat secara langsung.

Politik Persepsi: Cabaran Terbesar Kerajaan Perpaduan

PRK Ayer Kuning berlaku dalam konteks pertembungan antara naratif “kerajaan sedang berusaha” dengan naratif pembangkang yang memainkan emosi, kesempitan hidup, dan retorik kaum. 

Di medan media sosial, Perikatan Nasional (PN) masih dominan dalam menjana sentimen marah, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar.

Walaupun PN masih bergelut untuk menembusi kawasan bukan Melayu dan kekurangan tokoh tempatan yang kukuh di Ayer Kuning, mereka memiliki kekuatab utama — mereka tahu cara mengaktifkan protes senyap. 

Mereka tidak perlu meraih majoriti baharu tetapi cukup sekadar melemahkan semangat pengundi PH untuk keluar mengundi, lalu membuka ruang kemenangan tipis.

Di sinilah BN perlu lebih berhati-hati. Calon yang tidak mampu mencetuskan semangat bersama dalam kalangan pengundi PH boleh membawa padah. PRK ini bukan soal “menang bergaya”, tapi soal “tidak kalah kerana cuai”.

Calon BN: Antara Populariti dan Kapasiti Politik

Pemilihan calon dalam PRK Ayer Kuning adalah penentu segalanya. Prinsip lama Winnable, Acceptable, Likeable sudah tidak mencukupi. 

Kali ini, calon BN perlu memiliki empat karakteristik utama:

1. Setempat dan dikenali akar umbi — bukan calon luar atau parachute.

2. Mampu menyeberang sempadan partisan — boleh diterima oleh pengundi PH, terutamanya DAP dan PKR.

3. Berwibawa dan tidak kontroversial — bersih daripada persesi negatif, terutamanya melibatkan integriti dan gaya hidup.

4. Komunikatif dan empati — mampu menjadi penyumbang suara rakyat, bukan sekadar penyampai dasar kerajaan.

Tanpa calon yang memenuhi keempat-empat ciri ini, BN berisiko bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi, tetapi kehilangan peluang penting untuk mengukuhkan persepsi positif terhadap Kerajaan Perpaduan.

Justeru pemilihan Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah yang juga mempunyai latar belakang pendidikan di peringkat PhD dalam bidang agama dipercayai mampu memenuhi kriteria yang dinyatakan.

Penyokong PH: Faktor Penentu Atau RisikoTerbesar?

Satu realiti pahit yang harus diakui, tanpa sokongan senyap dan penglibatan aktif penyokong PH, kemenangan BN sukar dicapai. 

Dalam PRU-15, banyak kerusi dimenangi hasil kerjasama tidak rasmi antara pengundi PH dan BN untuk menghalang gelombang hijau PN. 

Namun dalam PRK ini, kerjasama tersebut perlu diterjemah secara strategik bukan sekadar retorik “kita satu kerajaan”.

Sebarang kecuaian dalam komunikasi antara UMNO dan PH boleh menyebabkan pengundi PH “memprotes” secara senyap.

Dalam konteks ini, bukan sentimen anti-BN yang menjadi masalah, tetapi keengganan pengundi PH untuk menyokong calon BN yang tidak mewakili semangat reformasi, keterangkuman dan progresif nilai-nilai yang menjadi tonggak pengundi bandar dan separa bandar.

Maka, jentera BN perlu dilatih untuk berkempen secara inklusif, memahami sensitiviti pengundi lintas parti, dan tidak terjebak dengan kempen bersifat eksklusif Melayu sahaja satu strategi yang hanya akan menjarakkanmereka dari kelompok pengundi PH.

PRK Ini Ujian Naratif: Boleh Atau Tidak Rakyat Percaya?

PRK DUN Ayer Kuning bukan sekadar tentang mengekalkan kerusi atau mencabar status quo. 

Ia adalah referendum mini terhadap naratif besar Kerajaan Perpaduan sama ada gabungan BN dan PH masih diyakini sebagai wadah kestabilan dan penyelesaian kepada keresahan rakyat.

Soalan utama yang akan dijawab oleh pengundi Ayer Kuning pada 26 April ini ialah “masihkah kami percaya?”.

Jika BN berjaya mengekalkan kerusi ini, ia bukan hanya mencerminkan kejayaan kempen atau kekuatan jentera parti. 

Ia adalah isyarat kukuh bahawa rakyat masih memberi mandat kepada model pentadbiran campuran B-PH, khususnya di Perak di bawah teraju Saarani, dan secara lebih luas di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya, jika BN tewas, mesejnya jelas rakyat mahukan pendekatan yang lebih baharu, komunikasi yang lebih telus, dan kepekaan yang lebih tinggi terhadap tekanan hidup yang kian mencengkam.

Ia menjadi panggilan untuk perubahan nada, bukan semestinya perubahan kerajaan tetapi perubahan gaya kepemimpinan yang lebih mendengar dan lebih tangkas bertindak.

Perlu difahami bahawa isu-isu semasa seperti rasionalisasi subsidi, harga barang yang meningkat, dan isu kepercayaan terhadap dasar-dasar ekonomi bukan sekadar angka di atas kertas. 

Ia adalah emosi rakyat yang semakin membuak, yang jika tidak ditangani dengan sensitiviti dan kebijaksanaan, boleh menjadi tsunami senyap yang mengubah arus PRK ini walaupun ia kelihatan kecil pada mata kasar.

Justeru, BN perlu hadir ke medan PRK ini bukan hanya sebagai parti politik yang mempertahankan kerusi, tetapi sebagai pembawa suara rakyat dan pencermin keprihatinan kerajaan. 

Maka, naratif yang dibawa mesti beranjak daripada slogan lama kepada mesej yang lebih tulus dan berakar umbi. 

Ia perlu menjadi naratif yang mendengar rintihan rakyat, bukan sekadar mengulangi pencapaian.

Naratif yang menyelesaikan, bukan menyalahkan, apatah lagi dalam suasana rakyat menanggung beban ekonomi.

Naratif yang mengiktiraf realiti hidup rakyat, dan menunjukkan bahawa kerajaan bukan hanya sedar, tetapi bersedia untuk bertindak secara responsif, bukan defensif.

Dalam PRK ini, persepsi akan menjadi lebih penting daripada retorik. Rakyat akan membuat keputusanbukan semata-mata berdasarkan calon atau parti, tetapi berdasarkan rasa percaya percaya bahawa kerajaanbenar-benar faham dan sedia membela mereka dalamsaat-saat getir ini.

Maka, cabaran buat BN bukan hanya mempertahankan undi, tetapi memulihkan kepercayaan. 

Dan jika itu berjaya dilakukan, kemenangan di Ayer Kuning akan membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar satu lagi kerusi dalam DUN Perak.

Kesimpulan

PRK Ayer Kuning bukan pertarungan biasa. Ia medan membentuk persepsi nasional. BN tidak boleh sekadar masuk dengan semangat mempertahankan kerusi. 

Ia perlu masuk dengan strategi mempertahankan keyakinan bahawa gabungan BN dan PH adalah pilihan rasional, berwibawa, dan responsif terhadap denyut nadi rakyat.

Kemenangan BN dalam PRK ini bukan hanya tentang kelangsungan di Ayer Kuning, tetapi kelangsungan naratif bahawa politik Malaysia pasca-PRU15 masih boleh dibina atas dasar kesepaduan, kematangan, dan kepentingan rakyat mendahului segalanya. 


Penulis merupakan Ahli Dewan Belia Negeri Perak 2023/2024. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan