PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta sensasi di kejohanan badminton Tebuka Seluruh England apabila berjaya mara ke sulu akhir biarpun dalam keadaan tempang.
Ini berikutan Pearly mengalami kecederaan buku lali ketika mendahului 14-8 pada set kedua bertemu beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Beregu rangking kelima dunia itu sebelun itu menang di set pertama 21-16 namun pada aet kedua, Pearly terbaring di gelanggang apabila kakinya terseliuh ketika cuba membuat lompatan “smash”.
Peraturan baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang tidak membenarkan pemain menerima rawatan ketika perlawanan sedang berlangsung menyebabkan Pearly terpaksa menahan kesakitan.

Bagaimanapun dengan sokongan para penonton di Utilita Arena Birmingham terutama laungan “Malaysia Boleh!”, pemain berusia 24 tahun ini meneruskan permainan.
Apriyani-Siti Fadia gagal mengambil kesempatan ketika salah seorang lawannya mengalami kecederaan dan peluang itu direbut oleg pasangan negara untuk menang 21-14.
Sebelum itu, pilihan pertama kejohanan, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak menghadapi laluan sukar untuk menempah slot ke suku akhir acara beregu campuran.
Pasangan suami isteri yang berada di ranking ketiga dunia itu mudah mengetepikan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson 21-9, 21-10 dalam masa 25 minit di peringkat 16.
Pada set pertama Soon Huat-Shevon hanya membenarkan pasangan lawan mendahului sehingga ke mata ketiga sebelum mereka mengutip demi mata sebelum menang 21-9.
Di set kedua, pasangan negara langsung tidak memberi peluang kepada lawan apabila mendahului mulai mata pertama sebelum menang 21-10.
Sementara itu harapan menyaksikan satu lagi beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mengikut jejak tidak kesampaian apabila mereka tunduk kepada lawan yang ditewaskan mereka dalam final Terbuka India Januari lalu.
Pilihan kedua kejohanan itu tewas 16-21, 13-21 kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae tersebut sekali gus meleburkan harapan menyaksikan wakil beregu lelaki mara ke suku akhir.
Di peringkat suku akhir esok, Soon Huat-Shevon akan dicabar oleh pasangan dari China, Jiang Zhen Bang-Huang Dong Ping manakala Pearly-Thinaah akan berdepan beregu Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Kedua-dua beregu negara bermain pada masa yang sama iaitu bermula 5.30 petang waktu Malaysia. – Edisi 9

