PEMAIN kelab divisyen dua Portugal, Portimonense, Hector Hevel disahkan akan mewakili skuad Harimau Malaya sebagai pemain warisan terbaharu kebangsaan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) dan kemudian disokong oleh pengumuman oleh kelab induk pemain tersebut hari ini.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pencetus revolusi bola sepak skuad kebangsaan bertitah, Hevel yang juga pemain kelahiran Belanda, telah melaporkan diri pada 31 Januari lalu namun sengaja tidak dihebohkan.
Titah baginda, pemain itu sedang menunggu kelulusan kerajaan Malaysia sebelum dipanggil menyertai latihan pusat di Kelana Jaya menjelang pertemuan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Nepal pada 25 Mac ini.
“31 Januari semua dah lapor, cuma menunggu kelulusan Kerajaan aja. Malas nak bising-bising. #merekatakbiasa,” titah Tunku Mahkota Ismail menerusi Instastory baginda.

Dalam hantaran tersebut TMJ turut mendedahkan gambar baginda bersama Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan khidmat Hevel.
Manakala sekeping gambar lagi menunjukkan Hevel segak berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok bersama ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memegang jersi rasmi pasukan kebangsaan.
Memperkukuhkan berita tersebut, kelab induknya di Portugal, Portimonense, dengan bangganya mengumumkan pemain berusia 28 itu terpilih untuk mewakili Malaysia.
Semalam, para penyokong dan peminat Harimau Malaya tertanya-tanya apabila pemain warisan yang dihebohkan sebelum ini tiada dalam senarai 27 nama yang dipanggil untuk menjalani latihan pusat bagi menghadapi Nepal di Stadium Sultan Ibrahim itu.
Sebaliknya, Cklamovski mengumumkan nama-nama ‘regular’ yang mewakili negara sebelum ini termasuk pemain naturalisasi dan warisan yang sudah jarang diturunkan oleh kelab mereka di Liga Malaysia seperti Mohamadou Sumareh dan Corbin Ong.
Sebelum ini, Harimau Malaya dikatakan bakal diperkuatkan oleh tiga pemain warisan yang beraksi di kelab-kelab Eropah bagi memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2027. – Edisi 9

