KERAJAAN dicadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat di negara ini pada masa kini.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagai salah satu langkah penyelesaian secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
Beliau berkata, beliau telah mengikuti sesi pembentangan mengenai isu-isu berkenaan padi dan beras dan akses kepada benih yang disampaikan oleh wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) petang semalam.
Menurut beliau, antara perkara yang dibangkitkan ialah peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun yang tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli yang tidak menguntungkan petani.
Muhyiddin berkata, para petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan kepada RM1,800 berbanding RM1,300 per tan metrik yang diumumkan kerajaan sebelum ini disebabkan kenaikan pelbagai kos tersebut.
“Saya berpandangan, isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
“Dalam hal ini saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri tersebut.
“Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga wajar ditubuhkan untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran dalam media sosialnya hari ini.
Pertemuan dengan PESAWAH itu berlangsung di Institut Masa Depan Malaysia (MASA) sempena majlis berbuka puasa institut tersebut di Kuala Lumpur.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin.
Bulan lalu, kerajaan menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari.
Seiring penyelarasan baharu harga lantai padi itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan harga beras putih tempatan di pasaran juga kekal pada RM2.60 sekilogram.
Pengekalan harga itu, kata beliau, menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos pengeluaran berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan ini.
Sebelum itu, PESAWAH mendesak kerajaan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,800 ekoran peningkatan kos penanaman padi yang ditanggung petani. – Edisi 9

