KERAJAAN bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap metrik tan berkuat kuasa mulai 16 Februari ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu pada Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, penyelarasan itu dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
“Hari ini, bukan sahaja pesawah mendapat berita gembira tetapi pengguna juga turut lega apabila harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram,” kata beliau.
Mohamad berkata, bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini.
Melalui inisiatif itu, jelas beliau, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.
“Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan MADANI sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara,” kata beliau.
Sementara itu KPKM berkata, pengumam tersebur t diharap dapat memberikan solusi ‘menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna.
Katanya, dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian, bertujuan meringankan beban pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi.
“Justeru semua pihak diseru untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan.
“Sebaiknya semua pihak perlu sama-sama menyokong segala usaha bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan ketika,” katanya. – Edisi 9

