Monday, July 20, 2026

Peranan ELTC dipeluas tingkat penguasaan BI guru, murid

Mesti Baca

PERANAN Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) akan diperluaskan bagi meningkatkan penguasaai bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dengan penstrukturan semula ELTC secara radikal dijangka akan memberikan impak kepada peningkatan dan penguasaan guru-guru khususnya dari aspek latihan dan pengajaran di dalam kelas.

Beliau berkata, ia antara langkah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyegerakan insiatif pengukuhan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah sepertimana disaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia selaras dengan agenda Reformasi Pendidikan KPM yang turut memberi tumpuan kepada aspek memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris sebagai salah satu hala tuju utama pendidikan negara.

“Bagi memacu pengukuhan Bahasa Inggeris, KPM sedang mempertimbangkan beberapa penambahbaikan segera termasuk pengstrukturan semula pusat tanggungjawab yang berkenaan bagi memastikan keberkesanan dan impak inisiatif yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) memberi penekanan khusus kepada keperluan
untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa ilmu dan
komunikasi antarabangsa.

Katanya, fokus KPM bagi memperkasakan bahasa Inggeris tertumpu kepada
empat inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ini termasuk Highly Immersive Programme (HIP), Dual Language Programme (DLP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah Dalam Talian dan Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT).

“Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang optimum di dalam pelantar DELIMA juga kini menjadi peneraju utama dalam peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keprihatian Perdana Menteri terhadap isu-isu yang terkait dengan pendidikan dan akan terus berusaha keras untuk mereformasikan pendidikan negara demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Semalam, Perdana Menteri menggesa KPM menyegerakan insiatif bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata, kaedah lama dalam melaksanakan dasar kerajaan berkaitan usaha itu perlu diubah dan perancangan reformasi pendidikan negara seperti yang ditetapkan kerajaan perlu dipercepatkan.

“Selain memantapkan bahasa Melayu, adalah untuk memberikan sedikit anjakan iaitu memastikan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu cukup mantap dalam kalangan pelajar terutama peringkat menengah.

“Kalau ikut unjuran biasa, keputusan kita (mengenai penguasaan bahasa Inggeris pada tahun) 2023, (dasar) akan dirangka tahun 2024 dan akan diputuskan 2025.

“(Selepas itu) akan dimulakan rancangan ujian pula pada 2026 dan (bermula) 2027 dijalankan peringkat awal manakala (pada) 2028 baru dapat cuba laksanakan. Tak boleh lagi dah perencanaan begitu, itu perencanaan lama,” katanya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan