KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta untuk mengkaji mekanisme kawalan percampuran beras putih tempatan dan beras putih import berserta simulasi harganya.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Mohamad berkata, langkah itu dibuat hasil dapatan Kajian Industri Padi dan Beras di Malaysia oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai aspek pengeluaran serta tadbir urus industri padi dan beras.
“Bagi membantu pesawah serta industri padi dan beras, KPKM juga telah diminta untuk mengkaji bentuk bantuan dan sokongan yang boleh diberikan kepada golongan ini bagi menyerap kesan kenaikan kos
pengeluaran padi dan beras.
“Kajian-kajian ini hendaklah disediakan secara komprehensif dan dibentangkan ke kabinet pada bulan Januari 2025,” kata Mohamad dalam kenyataan hari ini.
Hadir sama dalam mesyuarat JKKMN ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mesyuarat tersebut bagi mengetengahkan aspirasi kerajaan dalam merangka dasar dan strategi keterjaminan makanan yang lebih berdaya saing dan mampan bagi memastikan tahap keterjaminan makanan negara kekal stabil.
Di samping itu, Mohamad berkata, mesyuarat juga telah meneliti kertas berkenaan mekanisme subsidi telur ayam dan kesannya kepada industri.
Beliau berkata, satu sesi libat urus bersama pemain industri juga akan diadakan bagi memperhalusi
mekanisme pelaksanaan subsidi telur ayam.
“Mesyuarat turut bersetuju agar inisiatif berkaitan industri padi dan beras serta telur dilaksanakan segera bagi memastikan kemampanan industri serta ketersediaan bekalan komoditi makanan tersebut sentiasa terjamin,” kata beliau.
Katanya, KPKM komited untuk memastikan keputusan yang diambil, akan memberikan keseimbangan dan tidak akan membebankan rakyat serta industri, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan.
Mesyuarat juga menyeru agar semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara agar lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. – Edisi 9