PENUBUHAN Startup ASEAN sempena Malaysia sebagai kepengerusian ASEAN 2025 merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem syarikat pemula serantau.
Ia berperanan dalam menghubungkan syarikat pemula teknologi di seluruh rantau, memperkasakan pengasas dan merapat rangkaian tempatan serta global ASEAN yang disokong semua 10 negara anggota.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Startup ASEAN dicipta untuk mempromosi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam ekosistem syarikat pemula ASEAN.
Selain itu, beliau berkata, inisiatif itu juga berfungsi sebagai pintu masuk kepada komuniti pemula ASEAN yang dinamik.
“Ini adalah permulaan kepada pertumbuhan teknologi dan inovasi yang telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat.
“Melalui MOSTI, Malaysia telah lama mengiktiraf peranan syarikat pemula dalam membangunkan ekonomi dan perkembangan teknologi,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Startup ASEAN pada Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di Kuala Lumpur semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, Startup ASEAN bukan sahaja berfungsi sebagai hab.
Malahan ia juga adalah pemangkin kerjasama dan inovasi serantau untuk mendorong perkembangan syarikat pemula dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ini.
“Melalui pendekatan berfasa, Cradle akan memperkenalkan program dinamik termasuk hackathon serantau yang menyasarkan sektor deep tech seperti Kecerdasan Buatan (AI), kelestarian dan teknologi iklim.
“Selain itu, Startup ASEAN Summit yang dijadualkan tahun hadapan akan menonjolkan inovasi serantau serta membuka pasaran baharu untuk startup,” katanya. – Edisi 9