PELUANG saintis Malaysia mendapatkan geran sebanyak RM50,000. Geran Penyelidikan Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) tahun 2025 kini dibuka bagi para penyelidik tempatan dalam bidang perubatan dan bioperubatan.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), geran tersebut dianugerahkan setiap tahun bagi memperingati legasi mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, seorang perintis dalam penyelidikan perubatan.
“Geran yang diberikan ini adalah menerusi Tabung Amanah Penyelidikan Perubatan RBS, ditubuhkan melalui wasiat Dr Ranjeet bagi mempromosi dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang sains perubatan dan bioperubatan.
“MOSTI berperanan sebagai pemegang amanah Tabung ini bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai agensi pelaksana,”kata MOSTI dalam kenyataan hari ini.
Geran yang diperkenalkan sejak 1977 telah menyokong lebih 28 projek penyelidikan dan 11 bengkel teknikal berjumlah lebih RM860,000.
Inisiatif itu memainkan peranan penting dalam menyokong usaha penyelidikan terutamanya dalam bidang onkologi dan penyakit berjangkit.
“Pencapaian penerima Geran Penyelidikan Perubatan RBS pada tahun-tahun
sebelum ini telah menjadi pemangkin dalam pembangunan vaksin, penyelidikan kanser, pencegahan penyakit, dan inisiatif kesihatan awam, menyumbang kepada kemajuan penyelidikan klinikal negara,”kata MOSTI.
Bagi tahun ini, seorang penyelidik akan dipilih untuk menerima geran tersebut dengan syarat pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di dalam negara dan mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda serta berkhidmat dengan institusi pengajian tinggi atau institusi penyelidikan tempatan.
Penerima yang terpilih perlu melengkapkan penyelidikan beliau dalam tempoh 24 bulan, dengan dana yang diberi akan disalurkan kepada institusi penerima.
“MOSTI terus komited dalam memupuk penyelidikan yang mampu memberikan impak besar seterusnya memacu penciptaan nilai dan pembangunan mampan, dengan berfokuskan kepada bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.
“Inisiatif seperti Geran Penyelidikan Perubatan RBS adalah usaha penting dalam menyokong pembangunan R&D perubatan negara dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.
Penyelidik yang berminat boleh mengemukakan permohonan menerusi
www.akademisains.gov.my/2025-rbs sehingga jam 11.59 malam pada 28 Februari 2025. – Edisi 9

