PENDERITAAN keluarga Ahmad Hadzumi Nordin yang kisahnya sebelum ini tular dalam media sosial mendapat perhatian Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Hadzumi dari Pasir Mas, Kelantan mengharungi hidup dalam kedaifan apatah lagi sejak kehilangan isterinya, Che Rohani Hassan akibat Covid-19 pada Jun 2021.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahmad Hadzumi tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan duit gaji anak sulung dan menantu untuk meneruskan kehidupan.
“Ziarah kasih hari ini adalah lanjutan daripada program ziarah kasih pada tahun lepas dan saya berhasrat untuk turun ke Kelantan selepas melihat sendiri keperitan yang dihadapi oleh keluarga Ahmad Hadzumi di platform Tiktok.
“Justeru, pihak YKM bersetuju untuk memberi Bantuan Kasih YKM pada tahun ini kepada keluarga beliau.
“Bantuan ini adalah bagi meringankan beban keluarga terutama kepada anak-anak kerana kita mahu memberi semangat untuk mereka terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Sempena program ziarah Bantuan Kasih di Kelantan itu, Ismail Sabri turut menyantuni keluarga Zasme Armazny Mamat yang turut kehilangan suami, Mohd Suhaimi Ab. Majid akibat COVID-19.
Zasme Armazny adalah seorang pengasuh dan kini menyara empat orang anak secara bersendirian.
Turut menerima surat kelulusan Bantuan Kasih YKM 2025 adalah keluarga Mohd Nizam Mat Jusoh yang menetap di Kota Bharu.
Bapa tunggal ini yang bekerja di syarikat penghantaran barang kini menyara empat orang anak.
Ismail Sabri berkata, beliau menyampaikan bantuan wang tunai kepada ketiga-tiga keluarga itu sebagai simbolik permulaan pemberian Bantuan Kasih YKM tahun ini.
Bantuan terseburlt akan diberikan secara bulanan berbanding tahun lepas yang diberi secara tiga kali setahun.
Beliau berkata, di samping sumbangan perayaan, YKM juga telah menyalurkan Bantuan Kasih secara berfasa kepada 977 penerima sejak 2022.
Katanya, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun.
“Pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui e-mel dan WhatsApp,” katanya. – Edisi 9