HARGA runcit petrol RON97 mencatatkan kenaikan kali keempat berturut-turut dalam tempoh sebulan terakhir dan terbaharu mulai tengah malam ini.
Harga baharu bahan bakar tersebut kini RM3.33 seliter, naik 5 sen berbanding RM3.28 seliter minggu lalu.
Turut mencatatkan kenaikan ialah harga runcit diesel bagi Semenanjung Malaysia iaitu dari dari RM2.98 seliter kepada RM3.03 sen, juga kenaikan sebanyak 5 sen.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya berkata, peningkatan harga produk tersebut seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia.
“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” kata kenyataan itu hari ini.
MOF berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
Sementara itu, kerajaan mengekalkan harga runcit RON95 pada paras RM2.05 seliter manakala diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan juga dikekalkan kepada RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata MOF. – Edisi 9