23.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 18, 2025

Cradle terima anugerah ‘Startup Ecosystem Star’ di SES 2024

Mesti Baca

CRADLE Fund Sdn Bhd (Cradle), agensi fokal bagi ekosistem pemula Malaysia, telah dinobatkan sebagai Startup Ecosystem Star for 2024 semasa Startup Ecosystems Awards (SES 2024) di Paris, Perancis.

Anugerah berprestij anjuran International Chamber of Commerce (ICC) dan Mind the Bridge tersebut bertujuan untuk mengiktiraf entiti yang memacu inovasi dan keusahawanan di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, pencapaian meraih anugerah Best-in-class Startup Programs bukan sahaja mengiktiraf prestasi agensi itu tetapi juga meraikan komuniti pemula Malaysia dalam usaha sama kolektif untuk berdaya saing di peringkat global.

Beliau berkata, anugerah tersebut memberi penekanan terhadap program-program berimpak tinggi yang memupuk pelaburan, membangunkan bakat dan menggalakkan kerjasama industri yang mana menjadi tonggak penting dalam membina ekonomi yang berkembang pesat dan berinovasi.

“Anugerah ini milik semua pihak yang komited terhadap menjayakan keusahawanan Malaysia dan kerajaan, yang dipimpin oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Cradle, rakan korporat termasuk startup itu sendiri.
“Anugerah ini adalah bukti keupayaan, ketahanan dan kesungguhan usahawan di Malaysia yang terus giat berusaha seterusnya meningkatkan penanda aras inovasi di peringkat global,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Norman berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar anugerah tetapi seruan untuk terus membangunkan ekosistem di mana startup bukan sahaja dilahirkan tetapi juga berkembang dan berjaya.

Katanya, usaha memperkasa syarikat pemula bukan hanya melalui pembiayaan tetapi juga dengan membina rangkaian sokongan yang membolehkan mereka berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Advertisements

“Pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan Malaysia antara 20 ekosistem startup terbaik dunia menjelang 2030,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Kehormat ICC, Maria Fernanda Garza berkata, Cradle berperanan sebagai teras inovasi dan pertumbuhan dalam ekosistem syarikat pemula Malaysia.

Katanya, melalui program pembiayaan dan program pembangunan kapasiti, Cradle telah menjadi pemangkin untuk membimbing startup peringkat awal, menyediakan bukan sahaja sokongan kewangan tetapi juga panduan strategik untuk mengubah idea menjadi usaha niaga yang berimpak.

“ICC mengiktiraf komitmen berterusan Cradle dalam memperkasa inovator dan mewujudkan persekitaran yang kukuh untuk keusahawanan, membuktikan bahawa sokongan dedikasi mampu membuka potensi tanpa batas untuk kemajuan ekonomi dan sosial.

Untuk rekod, ICC merupakan organisasi perniagaan global yang mewakili lebih 45 juta syarikat di 170 negara yang memainkan peranan penting dalam memajukan perdagangan antarabangsa dan inovasi.

Anugerah SES 2024 telah menobatkan 64 organisasi dari 36 negara termasuk ekosistem terkemuka di Eropah, Asia. Amerika Utara, Afrika serta lain-lain negara dari Oceania, Timur Tengah dan Amerika Latin.

Pencapaian Cradle meletakkan Malaysia antara negara-negara utama ini, setanding dengan ekosistem inovasi terbaik dunia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan