SEBANYAK enam syarikat pemula (startup) telah dipilih untuk menerima pelaburan berjumlah RM750,000 daripada firma modal teroka, Nexea.
Kesemua syarikat terbabit masing-masing menerima pelaburan antara RM50,000 hingga RM250,000 bagi membolehkan mereka mengembangkan produk dan perkhidmatan yang dibangunkan.
Enam syarikat pemula terbabit ialah Nakngaji, Otter Barista, Choladeck (Twodart), EasyRenz, ALT Synergy dan Axtraction AI.
Kerua Pegawai Eksekutif Nexea, Ben Lim berkata, pihaknya amat berdedikasi terhadap pertumbuhan dan kejayaan syarikat pemula yang disokong dengan menawarkan bukan sahaja pembiayaan tetapi juga bimbingan daripada pelabur berpengalaman.
“Program pemecut kami berfungsi sebagai jambatan, menghubungkan startup yang berpotensi dengan pelabur dan mentor yang memahami cabaran dan peluang dalam mengembangkan perniagaan.
“Di Nexea, kami percaya dalam memupuk hubungan jangka panjang, memastikan startup mendapat sokongan dan bimbingan yang mereka perlukan untuk tahun- tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Demo Day MYStartup Accelerator hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke.
Sementara itu, Vanhaecke memuji pencapaian setiap syartikat pemula yang berjaya mengetengahkan idea-idea inovatif untuk perkembangan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, mereka telah berjaya meningkatkan pendapatan secara signifikan, dan enam startup juga telah berjaya meraih pelaburan berjumlah RM750,000.
“Kejayaan ini menunjukkan impak segera daripada program terancang yang berlangsung selama empat bulan.
“Di Cradle, kami percaya bahawa startup inovatif ini mencerminkan semangat keusahawanan yang kami berusaha untuk suburkan dalam ekosistem ini, dan kami berharap mereka terus berkembang dan berjaya,” katanya.
Pengasas Bersama Nakngaji, Syamil Yusoff berkata, pembiayaan, peluang jaringan, dan bimbingan yang diperoleh melalui program MYStartup Accelerator penting untuk perkembangan syarikat yang seterusnya.
“Setelah memulakan perniagaan kami selama enam tahun yang lalu dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 70 peratus setiap tahun, kami kini mencari sumber untuk meningkatkan pertumbuhan kami sebanyak lima kali ganda dari tahun ke tahun.
“Bimbingan adalah penting untuk memaksimumkan metrik perniagaan dan kewangan kami dan memastikan pertumbuhan kami lancar mengikut perancangan
“Sepanjang program ini, kami dapat merancang dan melaksanakan strategi perniagaan jangka pendek dan jangka panjang dengan teliti, justeru membolehkan kami mengenal pasti jurang dan peluang untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Tetingkap Tunggal untuk ekosistem syarikat pemula Malaysia, layari http://www.mystartup.gov.my. – Edisi 9

