Friday, July 24, 2026

RM10.7 juta geran padanan rangsang inovasi korporat, ‘startup’ 

Setiap GLC akan menerima geran padanan sehingga RM2 juta bagi melaksanakan projek rintis bersama syarikat pemula (startup) yang berpotensi

Mesti Baca

SEBANYAK RM10.7 juta geran padanan diperuntukkan kepada lapan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Program Bengkel Inovasi GLC (BIG) yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle).

Di bawah BIG, setiap GLC akan menerima geran padanan sehingga RM2 juta bagi melaksanakan projek rintis bersama syarikat pemula (startup) yang berpotensi, dalam usaha memacu inovasi teknologi dan memperkukuh kerjasama korporat-startup di Malaysia.

Program BIG yang dilancarkan pada Mac lalu kini memasuki fasa pelaksanaan, menyaksikan GLC terpilih menampilkan pelbagai inisiatif berteraskan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, 5G dan kelestarian alam sekitar.

Berikut adalah senarai GLC yang terpilih bersama projek inovatif mereka:

1. Bank Islam — Meneroka teknologi AI dan data tingkah laku untuk mempertingkatkan akses pembiayaan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta memperluas celik kewangan menerusi platform digital.

2. CelcomDigi — Memperkenal sistem logistik masa depan menggunakan 5G, AI dan robotik, ke arah mewujudkan ekonomi digital yang lebih berdaya tahan.

3. EDOTCO — Menyediakan pasaran analitik layan diri untuk mempercepat akses data serta memaksimumkan penggunaan menara dan infrastruktur telekomunikasi.

4. Malaysia Aviation Group — Menggunakan AI untuk penjejakan aset masa nyata, bagi mempercepat pemulihan pesawat (turnaround) dan menambah baik pengalaman penumpang.

5. Sime Darby Property — Memperkasa amalan keselamatan di tapak binaan melalui pengesanan masa nyata dan sistem amaran pelbagai bahasa berasaskan kecerdasan buatan.

6. S P Setia — Mengguna teknologi bagi menyediakan akses kepada perumahan mampu milik dan berkualiti, khususnya untuk rakyat berpendapatan sederhana.

7. Tenaga Nasional Berhad (TNB) — Membangunkan sistem guna semula bateri EV untuk penyimpanan tenaga serta platform digital tahan penipuan bagi melindungi pelanggan.

8. Cenviro — Menghasilkan penurap mampan berteknologi tinggi bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, kesemua GLC tersebut memperlihatkan pendekatan inovatif yang sejajar dengan kehendak industri masa depan.

“GLC ini telah membuktikan bahawa inovasi bukan sekadar aktiviti tambahan, malah merupakan pemacu utama daya tahan dan pertumbuhan syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pula menekankan peranan program ini dalam menjayakan sasaran Malaysia sebagai antara 20 ekosistem startup terbaik dunia menjelang 2030, melalui National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dan rangkaian deep tech nasional.

Manakala Menteri Kewangan II,  Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, program tersebut berjaya menanam budaya percubaan, kerjasama dan penciptaan nilai, yang akan memberi impak besar kepada pembangunan inovasi negara.

“Kami berharap kejayaan BIG dalam kalangan GLC ini menjadi landasan kepada peluasan program ke sektor swasta yang lebih luas pada masa depan,” katanya.

Dalam tempoh enam bulan akan datang, kesemua GLC ini akan berganding bahu dengan startup dan pasukan inovasi melalui dua laluan iaitu Venture Client Track dan Venture Co-Creation Track, untuk membangunkan bukti konsep yang akan dibentangkan dalam sesi Demo Day.

Startup yang berminat boleh mendaftar di laman rasmi BIG menerusi https://big.myopeninnovation.com/ — Edisi 9

Related posts:

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan