CRADLE Fund Sdn. Bhd. (Cradle) dan Invest India telah menandatangani dan bertukar Surat Kerjasama (LOC) bag menubuhkan India-Malaysia Startup Alliance (IMSA) melalui Startup India.
Kolaborasi strategik antara agensi fokal bagi ekosistem pemula (startup) Malaysia dan agensi promosi dan pemudah cara pelaburan di bawah kerajaan India itu bertujuan memperkukuhkan penglibatan dan kerjasama antara pemula berasaskan teknologi di kedua-dua negara.
Startup India, iaitu sebuah inisiatif utama oleh Invest India, bertujuan memperkasakan budaya pemula dan membina ekosistem yang lebih kukuh, inklusif dan berinovasi untuk keusahawanan di India.
Inisiatif di bawah Jabatan Promosi Industri dan Perdagangan Domestik, Kementerian Perdagangan dan Industri India itu memainkan peranan penting dalam memudahkan aliran masuk pelaburan asing ke India serta mempromosikan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kedua-dua negara telah mendapat manfaat daripada hubungan dua hala yang dibina berasaskan dasar diplomasi yang menjurus kepada kemakmuran bersama.
Beliau berkata, perjanjian antara Cradle dan Invest India itu adalah lanjutan daripada hubungan ekonomi dan komersial yang kukuh antara dua negara ini.
“Selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai salah satu negara dagangan utama India, kerjasama ini akan menggalakkan pemula tempatan untuk meneroka pasaran India yang mempunyai 1.4 bilion penduduk dan juga menyediakan laluan bagi pemula berkualiti dari India untuk menembusi pasaran ASEAN melalui Malaysia.
“Ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 ekosistem pemula terbaik global menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pertukaran LOC itu telah diadakan di New Delhi pada 21 Ogos lalu bersempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.
Perjanjian tersebut dibentuk untuk menjadi rangka kerja dua hala utama dalam penglibatan inovasi pemula antara kedua-dua negara.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke menandatangani bagi pihak Cradle manakala Invest India diwakili Setiausaha Bersama, Jabatan Promosi Industri dan Perdagangan Domestik, Kementerian Perdagangan dan Industri India, Shri Sanjiv.
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz.
Sementara itu Norman berkata, perjanjian yang julung kali diadakan itu bukan sahaja dapat mengukuhkan komitmen kedua-dua negara tetapi juga dapat memupuk kerjasama keusahawanan teknologi rentas sempadan serta mendorong pertumbuhan transformatif dalam ekosistem pemula di India dan Malaysia.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, IMSA akan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai pembangunan ekosistem pemula di Malaysia dan India dengan penekanan kepada usaha campur tangan kerajaan, kerjasama industri, dan penglibatan universiti.
“Inisiatif utama di bawah IMSA akan merangkumi sesi pembangunan kapasiti secara maya, acara perkongsian pengetahuan, dan program padanan pemula,” katanya. – Edisi 9