SEKSYEN 1 LEBUH Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) antara persimpangan bertingkat Banting ke persimpangan bertingkat Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) akan dibuka secara rasmi kepada pengguna mulai pukul 12.01 tengah malam ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jajaran yang menghubungkan Jalan Dengkil-Banting (FT31) ke SKVE itu membabitkan laluan sepanjang 12.5 kilometer (km).
Beliau berkata, WCE merupakan lebuh raya antara bandar yang merentasi bahagian pantai barat Semenanjung menghubungkan Changkat Jering di Perak (Utara) ke Banting negeri Selangor (tengah) sepanjang 314.5 km.
Katanya, lebuh raya itu melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di Perak dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam serta Banting di Selangor.
“Seksyen 1 WCE ini yang bersambung ke SKVE bakal memberi manfaat kepada rakyat terutama pengguna di sekitar Banting sebagai laluan alternatif ke bandar-bandar utama di selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan Kajang,” katanya.
Alexander berkata, pembukaan seksyen 1 WCE itu juga akan meningkatkan kecekapan perjalanan bagi pengangkutan barangan dan menjimatkan kos operasi bagi syarikat-syarikat perindustrian yang menjalankan operasi di dalam jangkauan lebuh raya tersebut.
Katanya, ia akan menjadi jalinan keterhubungan yang utama bagi kenderaan berat dan komersil yang membawa barangan dari pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Lumut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sementara itu, Alexander mengumumkan pemberian tol percuma kepada semua pengguna Seksyen 1 WXE tersebut selama sebulan bermula 12.01 tengah malam ini sehingga pukul 11.59 malam pada 29 September ini.
Katanya, pengecualian tol itu adalah dasar semangat Hari Kebangsaan ke-67, Hari Malaysia dan Setahun MyJalan serta komitmen semua pihak dalam mendukung dasar kerajaan Madani.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan pengecualian tol selama sebulan kepada pengguna yang melalui Seksyen 1 WCE dari kedua-dua arah,” katanya.
Beliau menjelaskan, jumlah kadar tol adalah mengikut kadar sedia ada dikenakan kepada pengguna yang menggunakan SKVE dari plaza tol seperti Ayer Hitam, SKVE Saujana Utama, Teluk Panglima Garang dan Pulau Indah untuk keluar ke plaza tol Banting WCE.
Ini juga ditambah dengan jarak persimpangan bertingkat Tanjung Dua Belas SKVE ke had sempadan WCE dan SKVE. – Edisi 9