PENDAKWAH selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful atau dikenali Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.
Hakim, Norazlin Othman memerintahkan Syed Shah Iqmal, 29, dihukum serta-merta selepas didapati bersalah kerana gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mendengar keputusan berkenaan, dia yang memakai kemeja putih dan berkot hijau, kelihatan terkejut lalu menunduk ketika berada dalam kandang tertuduh.
Sinar Harian melaporkan, dia ditemani isterinya, pengacara, Nurulhana Ismail, 38, yang masih dalam pantang setelah melahirkan anak 16 hari lalu.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam pada pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Sebelum ini, Syed Shah Iqmal turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta pada 31 Mei 2022.
Bagaimanapun dia dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Syed Shah Iqmal dan Nurulhana atau Hana Ismail berkahwin pada Disember 2022.
Memetik laporan media, Hana yang juga pengacara TV Alhijrah berkata, hatinya terbuka untuk menerima Syed Shah Iqmal atas keperibadian lemah lembut yang dimiliki pendakwah selebriti itu.
Katanya, pengetahuan bidang agama Islam yang dimiliki Syed Shah Iqmal turut menjadi faktor dia memilih lelaki tersebut walaupun perbezaan usia lebih sembilan tahun.