LEBIH 50 pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra di Besut, Terengganu berdepan detik cemas apabila asrama didiami terbakar malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, kebakaran yang bermula kira-kira 10.44 malam itu memusnahkan empat bilik asrama dan menjejaskan 58 pelajar.
Beliau berkata, pada mulanya para pelajar dan pengurusan MRSM Kota Putra cuba memadamkan kebakaran tersebut tetapi gagal.
“Sebaliknya api kebakaran semakin marak sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa.
“Seramai 20 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut dan Jerteh telah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya, lapor Kosmo Online.
Muhammad Azrul Izzham berkata, sebaik pasukan bomba tiba ke lokasi kejadian, kesemua pelajar terlibat telah selamat dipastikan keluar dari bangunan asrama berkenaan.
Beliau berkata, api kebakaran berjaya dikawal sebelum dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira sejam 40 minit.
“Kami terpaksa memecahkan siling bangunan bagi memastikan api kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya terutama pada bahagian bumbung,” katanya.
Punca siasatan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersyukur kerana semua pelajar terbabit selamat.
Bagaimanapun, beliau menunggu laporan penuh pihak bomba sebelum tindakan lebih lanjut diambil.
“Alhamdulillah semua 58 pelajar lelaki selamat walaupun 2 bilik asrama lelaki MRSM Kota Putra Besut musnah akibat kebakaran lewat malam tadi. Menunggu laporan penuh pihak bomba,” katanya menerusi Facebook beliau pagi ini.