MALAYSIA mempergiat penggunaan teknologi mobiliti pintar dan pengurusan infrastruktur digital sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh rangkaian jalan raya negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, negara kini beralih daripada pendekatan tradisional yang hanya menumpukan kepada pembinaan serta peluasan jalan raya kepada model pengurusan mobiliti yang lebih bersepadu dan dipacu data.
Menurut beliau, pendekatan tersebut menggabungkan kepakaran kejuruteraan, teknologi digital serta penyertaan awam bagi memastikan pengurusan mobiliti negara dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan responsif.
“Di seluruh Asia Tenggara, pembangunan infrastruktur berkembang dengan sangat pesat. Cabaran sebenar bukanlah sama ada infrastruktur akan terus berkembang, tetapi bagaimana kita mengurus infrastruktur tersebut secara lebih bijak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pameran mobiliti antarabangsa terkemuka dunia, Intertraffic Amsterdam di Amsterdam, Belanda.
Beliau berkata, Malaysia kini menyelenggara hampir 296,000 kilometer jalan raya, antara rangkaian terbesar di Asia Tenggara, selain disokong sistem lebuh raya sepanjang lebih 5,000 kilometer yang menghubungkan bandar utama, pelabuhan serta koridor ekonomi di seluruh negara.
Katanya, pertumbuhan ekonomi turut meningkatkan permintaan mobiliti apabila negara merekodkan 1.57 juta pendaftaran kenderaan baharu pada tahun 2024, bersamaan kira-kira 4,300 kenderaan memasuki jalan raya setiap hari.
Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya memperluaskan penggunaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan platform digital bersepadu bagi meningkatkan pemantauan trafik, mengoptimumkan aliran trafik serta memperkukuh keselamatan jalan raya.
Pada masa sama, orang ramai turut digalakkan memainkan peranan dalam membantu memantau keadaan jalan raya melalui aplikasi mudah alih MYJalan yang membolehkan pengguna melaporkan kerosakan jalan dan isu keselamatan secara terus kepada pihak berkuasa.
Menurut Alexander, sejak dilancarkan aplikasi tersebut telah menerima lebih 54,000 laporan awam dengan lebih 90 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
“Penyertaan rakyat amat penting bagi memastikan isu berkaitan infrastruktur dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau turut berkata, projek infrastruktur berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo akan terus memperluaskan kesalinghubungan di Sabah dan Sarawak serta membuka lebih banyak peluang ekonomi di Malaysia Timur.
Selain itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kerajaan merancang membina serta menaik taraf lebih 2,800 kilometer jalan luar bandar bagi meningkatkan kesalinghubungan komuniti di bandar kecil dan kawasan pertanian.
Alexander menegaskan pembangunan infrastruktur perlu memberi manfaat langsung kepada kehidupan rakyat.
“Inilah yang kita maksudkan apabila kita bercakap tentang memanusiakan kejuruteraan, iaitu memastikan pembangunan infrastruktur benar-benar meningkatkan kehidupan harian dan menghubungkan rakyat dengan peluang,” katanya. — Edisi 9

