Sunday, July 19, 2026

Lagi kes pijak al-Quran: MCMC buru pemilik akaun ‘Dickie Borneo’

Hasil pemantauan lanjut oleh MCMC turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama...

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan pemilik akaun ‘Dickie Borneo’ berhubung penyebaran visual tindakan biadab memijak Al-Quran menerusi platform Threads dan Facebook.

MCMC berkata, semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama ‘Dickie Borneo’ tidak dapat dikesan.

Walau bagaimanapun, MCMC menegaskan, siasatan lanjut akan diteruskan.

“Hasil pemantauan lanjut oleh MCMC turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial. 

“Semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” kata kenyataan itu hari ini.

MCMC berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

MCMC menjelaskan, pihaknya sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat.

“MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

MCMC menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja. 

“Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan