Monday, July 20, 2026

Bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil, mencukupi

KPKM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi kementerian.

Mesti Baca

KERAJAAN hari ini memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam di dalam negara kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kementeriannya dan para pengeluar telur tempatan telah memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan. 

“Bagi menjamin kestabilan bekalan, KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan kekeliruan yang timbul daripada beberapa laporan media berkenaan kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara. 

Mohamad berkata, langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara. 

“Kerajaan Malaysia melalui KPKM kekal komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM.

Katanya, Kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin.

Semalam, Mohamad dilapor berkata, ada kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan menyeludup bekalan telur tempatan ke Amerika Syarikat (AS) susulan harga telur di negara itu meningkat akibat kekurangan bekalan.

Katanya, kemungkinan itu tidak dapat ditolak berikutan negara kuasa besar itu sendiri sebelum ini, ada meminta bantuan Malaysia untuk mengeksport telur ayam ke negara berkenaan.

“Tuan-tuan tahu dalam dunia sekarang, AS hadapi masalah ayam, masalah telur sampaikan mereka mai (mari) minta bantuan hendak beli telur ayam kita.

“Ini berikutan harga sepapan telur yang boleh sampai USD12 hingga USD15 (RM53 hingga RM66) atau RM4 hingga RM5 bagi sebiji telur.

“Jadinya, kita kena jagalah sempadan (membabitkan) pihak kastam dan imigresen sebab kemungkinan besar telur ayam ini akan diseludup ke Amerika sebab harga di sana terlalu mahal,” katanya seperti dilapor media semalam. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan