HARGA benih padi sah (BPS) bagi peringkat borong diselaraskan daripada RM54 kepada RM52 sekampit 20 kilogram (kg) manakala peringkat runcit pula dikurangkan daripada RM58 kepada RM56 sekampit.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini berkata, penyelarasan harga kawalan maksimum BPS di bawah Insentif Benih Padi Sah itu berkuat kuasa mulai 15 April.
KPKM berkata, penyelarasan harga kawalan maksimum BPS itu dilaksanakan melalui sesi libat urus bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi.
“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah agar mereka mendapat benih padi yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan serta memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, semua pemborong dan peruncit BPS adalah diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing.
KPKM menegaskan, mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya.
Tahun lalu, kerajaan menetapkan harga jualan maksimum benih padi sah CL220 bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) pada kadar RM54 di peringkat pemborong dan RM58 di peringkat peruncit berkuat kuasa 15 April.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, penetapan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Padi dan Beras 1944 (Akta 522) itu turut menetapkan harga tersebut hendaklah dipaparkan dengan jelas pada setiap kampit yang dipasarkan kepada pesawah serta penjualan benih padi dan racun bagi varieti CL220 perlu dijual secara berasingan.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap metrik tan berkuat kuasa mulai 16 Februari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan itu dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
Selaras dengan itu, Kerajaan Madani memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi mengekalkan harga jualan beras putih tempatan (BPT).
Melalui inisiatif itu, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini. – Edisi 9

