Wednesday, July 22, 2026

MCMC arah telco tingkat liputan di kawasan Ayer Kuning

Setakat pukul 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan kesemua penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) agar segera meningkatkan liputan mereka di kawasan Ayer Kuning, Tapah.

Tindakan proaktif itu dibuat susulan teguran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai masalah liputan Internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

MCMC berkata, setakat pukul 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.

“Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu berkata, beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan, termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.

Selain itu, Kaunter Aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April 2025 bagi mendekati masyarakat setempat.

Kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos, dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.

“MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.

“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya.

Semalam, Fahmi meminta telco mengemukakan pelan penyelesaian bagi isu capaian internet lemah atau tidak mematuhi standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) di kawasan DUN Ayer Kuning.

Beliau berkata, MSQoS menetapkan kelajuan minimum internet pada tahap 7.5 megabait sesaat (Mbps) yang akan meningkat kepada 10Mbps dalam tempoh setahun.

Katanya, telco juga berdepan tindakan penguatkuasaan dengan kompaun bernilai jutaan ringgit boleh dikenakan sekiranya organisasi berkenaan gagal berbuat demikian. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan