Wednesday, July 22, 2026

Tunku Abdul Rahman rangkul kejuaraan pertama perlumbaan GT

Lebih manis lagi kemenangan itu dicatatkan di tanah air sendiri sambil disaksikan oleh Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Mesti Baca

ANAKANDA Yang di-Pertuan Agong, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim merangkul kejuaraan pertama GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, hari ini.

Tunku Panglima Johor itu bersama rakan sepasukan, Alex Sims memanfaatkan kesilapan dua pendahulu untuk merangkul kejuaraan pembuka tirai perlumbaan musim ini.

Lebih manis lagi kemenangan itu dicatatkan di tanah air sendiri sambil disaksikan oleh Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia dengan jentera baharu Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.

“Namun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi anakanda Seri Paduka Baginda berdua,  Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar,” memetik hantaran Facebook Sultan Ibrahim hari ini.

Tunku Abu Bakar terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas rakan sepasukannya, Jordan Love terlibat dalam perlanggaran dengan pelumba lain menyebabkan kerosakan pada jentera.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menyaksikan perlumbaan GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, Baginda gembira dengan permulaan baik yang ditunjukkan menggunakan jentera baharu Corvette tersebut.

“Buat Tunku Putera, cuba lagi di perlumbaan seterusnya, saya yakin prestasi akan meningkat, semoga lebih bernasib baik,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Permaisuri Agong turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang telah datang memberikan sokongan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat, terutamanya mereka yang sanggup datang dari Johor Bahru ke Sepang. 

“Saya berasa amat terharu dengan kesungguhan sokongan mereka. Semoga mereka akan selamat balik ke Johor Bahru, In Shaa Allah,” titah Raja Zarith Sofiah.

Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar beraksi bagi pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).

Turut berangkat ke perlumbaan hari ini ialah Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Pusingan seterusnya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Pertamina, Mandalika, Indonesia pada 9 hingga 11 Mei 2025. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan