ALLAHYARHAM Datuk Marina Md Yusoff masih menyimpan satu dokumen penting dan bersejarah berkaitan penubuhan UMNO baharu sehingga akhir hayatnya.
Dokumen berupa kenyataan Presiden UMNO Kedua, Allahyarham Tunku Abdul Rahman itu didedahkan dan dikongsi anak Allahyarham, pelakon Ida Nerina menerusi media sosialnya semalam.
“Beliau masih menyimpan ini #tunkuabdulrahmah 1988,” tulis Ida Nerina dalam hantarannya.
Kenyataan Tunku Abdul Rahman bertarikh 9 Februari 1988 itu sebenarnya menjadi saksi penting kepada detik kelahiran semula UMNO selepas krisis besar yang melanda parti tersebut pada tahun berkenaan.
Berikut transkrip penuh Kenyataan Tunku Abdul Rahman tersebut.
KENYATAAN OLEH YTM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA
Borang permohonan bagi pendaftaran UMNO Malaysia telah ditandatangani oleh saya pada jam 11.00 pagi semalam. Ia telah dibawa ke Kuala Lumpur oleh Marina Yusoff untuk pendaftaran pada jam 4.00 petang, tetapi kad pengesahan penerimaan permohonan tersebut dicap pada jam 11.00.
Mesyuarat telah diadakan secara tidak dijangka di rumah saya pada malam 7 Februari, mencadangkan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pro-tem dengan satu pengisytiharan untuk memperbaharui UMNO serta mengesahkan UMNO dan mendaftarkannya sebagai UMNO Malaysia.
Saya menandatangani senarai kehadiran pada mesyuarat tersebut. Ketika itu hujan turun, dan apabila Marina Yusoff bersama Pendaftar untuk menyerahkan borang permohonan, hujan juga turun. Ini merupakan petanda yang baik.
Aneh sekali, semua ini berlaku seolah-olah mengikut takdir Tuhan. Pada mulanya saya tidak pernah memikirkan perkara ini, tetapi ahli-ahli Jawatankuasa Tindakan Pro-tem datang pada malam sebelum hari lahir saya (7.2.1988).
Secara kebetulan, rumah di mana semua peristiwa ini berlaku dinamakan “Takdir”. Maka saya berharap dan berdoa agar Allah memberikan keberkatan-Nya ke atas usaha Jawatankuasa Tindakan ini untuk mengembalikan negara ini kepada kedaulatan undang-undang serta demokrasi berparlimen dan kebebasan.
Tunku Abdul Rahman Putra
9 Februari 1988.
Kenyataan Tunku Abdul Rahman itu sebenarnya menjadi saksi penting kepada detik kelahiran semula UMNO selepas krisis besar yang melanda parti tersebut pada tahun 1988.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas UMNO diisytiharkan sebagai pertubuhan tidak sah oleh mahkamah, sekali gus mencetuskan keperluan mendesak untuk menubuhkan semula parti berkenaan dalam bentuk baharu.
Langkah penubuhan itu kemudiannya membawa kepada pembentukan UMNO Baharu yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum kembali menggunakan nama UMNO seperti hari ini.
Kenyataan Tunku itu merupkan satu bentuk legitimasi moral yang amat penting, memandangkan beliau merupakan tokoh pengasas parti tersebut.
Sokongan terbuka Tunku yang juga Presiden UMNO Kedua dilihat membantu meredakan kegusaran ahli serta mengukuhkan keyakinan terhadap usaha penstrukturan semula parti.
Dalam masa sama, krisis berkenaan turut menyaksikan kemunculan kumpulan serpihan termasuk penubuhan Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang kemudian turut disertai oleh Marina.
Untuk rekod, Marina yang aktif dalam UMNO, Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia pada 11 Mac lalu akibat sakit tua dalam usia 84 tahun. — Edisi 9

