TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan cuaca tidak menentuk ekoran fasa peralihan monsun yang akan melanda negara ini bermula 29 Mac hingga Mei ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, ketibaan fasa peralihan monsun itu juga menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut bagu tahun 2025/2026.
Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, negara dijangka mengalami cuaca tidak menentu termasuk ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh singkat.
Ini terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.
“Keadaan ini berpotensi mengakibatkan kejadian banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.
“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan berisiko serta peka dengan maklumat dan amaran cuaca yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati oranh ramai agar mengelak berada di kawasan lapang ketika ribut, jauhi pokok besar dan struktur tidak kukuh serta berhati-hati di kawasan yang berpotensi berlaku takungan air.
“Semua agensi berkaitan berada dalam kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sama-sama kita utamakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengumumkan permulaan fasa peralihan monsun yang akan berlaku di negara ini.
Menurut agensi itu, fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 29 Mac dan berterusan sehingga Mei 2026.
Katanya, ini merupakan tempoh peralihan antara Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya. Tiupan angin yang lemah berlaku dari pelbagai arah. — Edisi 9

