Sunday, July 19, 2026

Dua kapal tangki ditahan, ‘bunkering’ tanpa kebenaran di Perak

Kedua-dua kapal telah ditahan dan diarahkan bersauh di kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika Timur Pulau Jarak bagi tujuan penyerahan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak.

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua buah kapal tangki yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (bunkering) tanpa kebenaran dalam kawasan perairan negara, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 8 malam, di kedudukan kira-kira 11 batu nautika timur Pulau Jarak setelah penggeledahan serta pemeriksaan menyeluruh yang dilakukan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal tangki berkenaan disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran serta bersauh di kawasan yang tidak dibenarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Minyak tersebut adalah jenis Marine Fuel Oil (MFO) dan dianggarkan berjumlah kira-kira 750 metrik tan yang dipercayai telah dipindahkan ke kapal tangki berkenaan.

“Kedua-dua kapal telah ditahan dan diarahkan bersauh di kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika Timur Pulau Jarak bagi tujuan penyerahan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak dengan bantuan pemantauan radar oleh Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua kapal tangki melakukan pemindahan minyak di perairan Pulau Jarak, Perak semalam.

Mohammad Shukri berkata, kesemua mereka telah diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk siasatan lanjut. 

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 serta peruntukan berkaitan di bawah peraturan Jabatan Laut Malaysia kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran dan bersauh di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Maritim Negeri Perak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara. 

“Aktiviti ‘bunkering’ tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang yang telah diperuntukkan,” katanya. 

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan