Monday, June 22, 2026

Gudang haram diserbu, beras 645.75 metrik tan dirampas

Mesti Baca

KAWALSELIA Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyerbu sebuah gudang haram dan merampas 645.75 tan metrik beras pelbagai gred bernilai RM2.1 juta di Sibu, Sarawak minggu lalu.

KPKM berkata, serbuan dilakukan sepasukan Penguatkuasa KPB dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) di sekitar Sibu pada 15 dan 16 Mei lalu.

Kenyataan itu berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan tersebut tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

“KPB telah menyita stok beras tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624.

“Siasatan turut dijalankan terhadap syarikat tersebut sama ada terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu beras putih import,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebahagian beras pelbagai gred yang disimpan secara haram di sebuah gudang di Sibu, Sarawak. – Foto: KPKM

KPKM berkata, sejak 5 Oktober lalu, kerajaan telah bersetuju memberikan subsidi BPI sebanyak RM950 per tan metrik peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit tidak melebihi RM31 per kampit bagi 10 kilogram.

Katanya, tindakan menyeleweng barang bersubsidi adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana membawa kerugian kepada negara serta mengakibatkan rakyat tidak dapat membeli barangan tersebut.

KPKM berkata, KPB sentiasa berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan negara termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi mengekang penyelewengan BPI di Sabah dan Sarawak termasuk cubaan membawa keluar beras tersebut dari sempadan negara.

“KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya,” kata kementerian itu.

Orang awam diminta menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan padi dan beras melalui Portal Aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau hubungi Ibu Pejabat KPB, Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan