Monday, July 20, 2026

Sukar dakwa pengilang campur BPI dengan BPT – KPKM

Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta perundangan subsidiari di bawahnya tidak mempunyai peruntukan berhubung kesalahan tersebut.

Mesti Baca

KERAJAAN sukar mendakwa pengilang yang mencampurkan beras putih import (BPI) dengan beras putih tempatan (BPT) bagi mengaut keuntungan kerana tiada peruntukan jelas mengenai pendakwaan kesalahan tersebut di mahkamah.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, pihaknya mendapati Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta perundangan subsidiari di bawahnya tidak mempunyai peruntukan berhubung kesalahan itu.

KPKM berkata, hasil kajian umum Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember 2024 pula mendapati pencampuran BPT dan BPI bukanlah amalan baharu.

Sebaliknya, kata kementerian itu, amalan tersebut telah berlaku sejak tahun 1970-an dan tiada sebarang usaha dijalankan sejak 50 tahun lalu untuk mengawal aktiviti ini.

“Justeru, susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, KPKM telah diarah untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” kata KPKM dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendedahkan, terdapat pengilang yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import, dipercayai bagi mendapatkan profit lebih tinggi.

Analisis dijalankan agensi itu terhadap lebih 5,000 sampel butir beras yang dijual sebagai beras import mendapati, sekitar 40 hingga 50 peratus daripadanya mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) beras tempatan.

KPKM berkata, pihaknya memberikan sepenuh komitmen dalam menyempurnakan siasatan mengenai kehilangan BPT dan dakwaan pencampuran beras dengan mengenal pasti serta memperkenalkan teknologi baharu pengesanan pencampuran beras melalui penggunaan cap jari DNA.

Sementara itu, hasil siasatan kehilangan BPT turut terjawab petugas khas yang ditubuhkan KPKM mendapati punca kekurangan bekalan adalah disebabkan masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT serta tiada peruntukan khusus mengenai larangan pencampuran beras di dalam Akta 522.

“Dalam situasi ini, pesawah mahu mendapatkan harga padi yang tinggi bagi meningkatkan pendapatan, pengilang dan pemborong pula ingin mengekalkan margin keuntungan manakala pengguna hendak mendapatkan beras berharga RM26 bagi 10 kilogram.

“Kesannya, wujud ketidakseimbangan dalam industri kerana setiap penyelarasan harga lantai belian padi tanpa disertai dengan semakan harga siling BPT boleh menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, yang akhirnya menjejaskan bekalan BPT di pasaran,” katanya.

Bagi mencari penyelesaian ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna, KPKM telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.

Katanya, antara langkah awal yang telah diambil adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta 522, menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan memperkasakan peranan MARDI dalam mengenalpasti varieti beras melalui teknologi DNA.

Selain itu, bagi berlaku ihsan terhadap kehidupan rakyat, Kerajaan MADANI
memberikan subsidi sekitar RM150 juta untuk mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram.

Langkah tersebut untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

“KPKM berharap bahawa langkah-langkah yang diambil ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan, serta bekalan beras yang stabil dan berpatutan untuk rakyat Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan