KENYATAAN Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berhubung isu padi dan Beras Putih Tempatan (BPT) tidak tepat.
Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggesa beliau merujuk kepada pihak berutoriti berkaitan padi dan beras bagi mengelak rakyat mendapat maklumat yang salah.
Kementerian itu berkata, pihaknya sentiasa komited untuk mencari penyelesaian terbaik melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras secara menyeluruh.
Katanya, ini bagi meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.
“Langkah-langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberadaan BPT di pasaran akan dimaklumkan setelah perincian mengenainya dipersetujui oleh Kerajaan,” kata KPKM dalam kenyataan hari ini.
Dua hari lalu, Syed Abu Hussin membidas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana gagal menyelesaikan isu padi dan beras dalam negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan urusan sumber makanan negara itu diserahkan kepada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) buat sementara waktu.
Syed Abu Hussin yang juga Ketua Kluster Makanan NACCOL yakin, isu tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan jika langkah tersebut diambil. – Edisi 9