USAHA seorang peguam untuk mencabar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sekatan yang dikenakan terhadap hantaran yang dimuat naiknya ke Facebook di mahkamah gagal.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak prosiding semakan kehakiman terhadap MCMC itu hari ini.
Peguam tersebut, Shamsher Singh Thind memohon untuk membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan pengguna media sosial di Malaysia disekat daripada mengakses hantaran itu yang dimuat naik pada Mei 2024.
Dalam permohonannya itu, Shamsher mendakwa MCMC mencabul kebebasan bersuara dengan menyekat hantaran berkenaan.
Sehubungan itu beliau mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan oleh MCMC sebagai tidak sah, selain mahu suruhanjaya itu menggugurkan “arahan” menyekat hantaran berkenaan kepada Facebook.
Dalam keputusannya hari ini seperti dilapor FMT, Hakim Anand Ponnudurai berkata, tindakan MCMC bukanlah satu “keputusan” yang boleh disemak oleh mahkamah.
Keputusan itu dibuat oleh Facebook dan MCMC hanya mengeluarkan permohonan untuk tindakan diambil.
Justeru, beliau berkata, suruhanjaya itu tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Platform media sosial mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal kandungan, walaupun apabila digesa oleh pihak pengawal selia seperti MCMC,” katanya seperti dilapor FMT.
Anand juga berkata, Shamsher gagal mengemukakan kes yang boleh dipertikai untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.
Dalam hantaran beliau, Shamsher cuba mengaitkan pemberian kontrak kerajaan dengan suami seorang Menteri Kabinet, yang mencetuskan perdebatan sengit dalam talian.
Shamsher berkata, Facebook kemudian menyekat siaran itu daripada dilihat dalam negara, selepas “penilaian undang-undang dan hak asasi manusia.” – Edisi 9