KEMENTERIAN Perpaduan Negara tampil dengan inisiatif kreatif yang mencuri perhatian rakyat menerusi pelancaran sebuah iklan khas bertajuk Tuai Kasih bersempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2025.
Iklan berdurasi beberapa minit itu bukan sahaja menyentuh emosi penonton, malah mengangkat semangat kekitaan serta nilai saling hormat yang menjadi teras keharmonian negara ini sejak sekian lama.
Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr. S. Shatesh Kumar, karya tersebut merupakan simbol keindahan nilai kebersamaan dan penerimaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Iklan ini bukan sekadar bahan promosi sempena dua perayaan penting, tetapi ia membawa mesej perpaduan dan penghayatan budaya yang mendalam. Ia mengajak rakyat agar meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan dan bukannya halangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menerusi tema ‘Dalam setiap sambutan, kita raikan keharmonian dalam kepelbagaian,’ Tuai Kasih mengetengahkan gabungan unik antara tarian etnik, muzik tradisional serta visual alam semula jadi dari Sabah dan Sarawak, digarap dengan sinematografi moden yang mencetuskan rasa bangga terhadap warisan tempatan.
Beliau berkata, naratif iklan dibina dengan teliti bagi menyampaikan mesej kasih sayang, tolak ansur dan semangat kekeluargaan yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu.
“Nama Tuai Kasih yang membawa maksud menuai kasih sayang turut menjadi metafora kepada hasil harmoni yang diperoleh apabila rakyat hidup dalam suasana saling memahami dan menyayangi,” katanya.
Satesh Kumar berkata, sejak dimuat naik di laman media sosial rasmi Menteri Perpaduan Negara pada 26 Mei lalu, Tuai Kasih telah meraih lebih 2.5 juta tontonan di platform TikTok dan Instagram.
Katanya, rata-rata warganet memuji pendekatan kreatif dan mesej yang disampaikan, menyifatkannya sebagai karya yang menyentuh jiwa serta mencerminkan keindahan sebenar masyarakat majmuk Malaysia.
“Penonton turut memuji cara iklan tersebut menyatukan pelakon daripada pelbagai latar belakang kaum dan negeri, antaranya Izzul Faiq (Melayu), Nicole Jay (Cina), Dhakshu (India), Ethan (Sabah) dan Dunstun Luther Junior (Sarawak) – sekali gus memperkukuh mesej perpaduan dan kepelbagaian yang diraikan bersama,” katanya. – Edisi 9

