WILAYAH ekonomi terbesar Jerman, North Rhine-Westphalia (NRW) memperkukuh kehadirannya di rantau Asia Tenggara menerusi pelancaran Meja Perkhidmatan ASEAN oleh agensi pelaburan milik kerajaannya, NRW.Global Business GmbH di ibu negara hari ini.
Langkah strategik itu bertujuan mempererat hubungan perdagangan dan pelaburan antara Jerman dan negara-negara ASEAN, di samping menawarkan sokongan langsung kepada syarikat serta pelabur rantau ini yang berminat menembusi pasaran Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif NRW.Global Business GmbH, Felix Neugart berkata, kehadiran tetap di Kuala Lumpur bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan dan kerjasama rentas sempadan dalam sektor berimpak tinggi seperti pendigitalan, teknologi lestari dan penyelidikan.
“Meja ini akan menjadi saluran penting untuk menyampaikan maklumat lengkap mengenai NRW sebagai lokasi pelaburan, serta menyediakan bimbingan praktikal dalam proses penempatan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Meja Bulat Perniagaan bertemakan Peluang Perniagaan antara NRW dan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut beliau, ASEAN kini muncul sebagai antara rantau pertumbuhan paling dinamik di dunia dan merupakan rakan dagang yang semakin penting kepada Jerman.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC), Jan Noether berkata, usaha sama ini akan memperkukuh lagi hubungan ekonomi sedia ada dan memudahkan akses pasaran syarikat ASEAN ke Jerman.
“NRW menawarkan pelbagai peluang kepada pemain industri dari Malaysia dan rantau ini. Meja perkhidmatan baharu ini bakal memainkan peranan penting dalam memperluas jaringan dan kerjasama perniagaan,” ujarnya.
Meja Bulat Perniagaan hari ini turut disertai wakil syarikat, agensi pembangunan ekonomi dan pemangkin perniagaan dari Malaysia dan Jerman bagi membincangkan potensi pelaburan dan strategi pembangunan pasaran masa hadapan.
NRW, yang terletak di barat Jerman, merupakan pusat industri dan teknologi utama negara itu serta menempatkan syarikat multinasional dan institusi penyelidikan terkemuka di Eropah. – Edisi 9

