Wednesday, July 22, 2026

Ziarah pemain legenda sempena Pestabola Merdeka 2023

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PROGRAM Ziarah Kasih sempena Karnival Uniti Pestabola Merdeka 2023 merupakan manifestasi penghargaan kepada legenda-legenda negara yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, Ziarah Kasih adalah salah satu aspek bagi menghargai legenda bola sepak negara, mengenang jasa-jasa dan mengetahui lebih lanjut mengenai sumbangan mereka.

Katanya, selain daripada menyantuni dan menziarahi lagenda bola sepak negara, kementerian turut menyampaikan sedikit sumbangan buat mereka.

“Program ini menuntut kita menghargai dan memahami sejarah bola sepak negara sekali gus memberi peluang generasi muda belajar jasa-jasa pemain legenda serta mewarisi semangat kebangsaan dan komitmen kepada sukan.

“Tidak hanya sekadar satu acara sukan, tetapi juga satu penghormatan kepada legenda- legenda bola sepak Malaysia yang telah mengukir nama negara di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menyantuni dan menziarahi lagenda bola sepak negara, hari ini.

Turut sama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) , Datuk Hamidin Mohd. Amin bersama wakil daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Antara lagenda bola sepak negara yang disantuni adalah seperti Khalid Ali yang mengalami kanser paru-paru, P. Dharmalinggam (angin ahmar) dan S. Pushpanathan (usus bengkak).

Sementara itu, Azman turut menyatakan harapan agar Karnival Uniti sempena Pestabola Merdeka ini menjadi satu detik kebanggaan mengenang jasa pemain legenda negara.

“Sukan dan perpaduan adalah mesin kekuatan yang membantu menyatukan rakyat dalam kepelbagaian.

“Karnival seumpama ini merupakan peluang kita untuk merayakan sejarah bola sepak Malaysia dan mengingatkan kita akan peranan yang dimainkan oleh legenda-legenda dalam pembentukan negara.

“Melalui acara ini, kita membuktikan bahawa perpaduan adalah jalan kita menuju kejayaan bersama dan terus memperkukuh ikatan kebangsaan dan membawa Malaysia ke arah yang lebih cemerlang,” ujarnya. – Edisi9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan