25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 16, 2024

Ancam bom, pemanggil beri amaran jangan sokong Palestin

Mesti Baca

SEBUAH pusat beli-belah di Johor Bahru kecoh apabila menerima ancaman bom daripada seorang pemanggil tanpa nama yang mendakwa berasal dari negara asing.

Pemanggil itu didakwa memberi amaran supaya tidak menyokong Palestin dalam pertempuran terbaharu dengan tentera Israel.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata pihaknya menerima laporan daripada pengurusan MidValley Southkey Mall pada 6.10 petang semalam dan dimaklumkan mengenai panggilan telefon yang mengancam itu.

“IPD JB Selatan terima panggilan telefon dari pihak pengurusan SouthKey kata mereka terima ancaman.

“Dapat panggilan telefon dan suara seseorang mengaku dia dari luar negara, bahawa dia telah meletakkan bom di kawasan MidValley, minta jangan beri sokongan pada pihak Palestin,” kata Raub pada sidang media yang diadakan.

Raub berkata 12 pegawai kanan polis, 60 pegawai rendah, dua unit anjing pengesan bersama-sama Jabatan Bomba dan Penyelamat, telah dihantar ke tempat kejadian.

Beribu-ribu pembeli, pengusaha kedai serta tetamu dan kakitangan hotel St Giles Southkey yang bersebelahan telah dipindahkan ketika pasukan pemusnah bom terus memeriksa kedua-dua kawasan termasuk tempat letak kereta.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kawasan pusat beli-belah itu selamat beroperasi seperti sediakala.

“Pihak polis masih lagi berada di lokasi kejadian untuk menjalankan pemerhatian lanjut dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

Kamarul Zaman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan berkaitan tindakan menakut-nakutkan secara jenayah yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia juga menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan menganggu gugat ketenteraman awam.

Pusat beli-belah di Mid Valley Southkey mengandungi 2.5 juta kaki persegi kawasan runcit, dengan 260 kedai runcit di enam tingkat.

Sementara itu, pihak pengurusan gedung beli-belah itu mengesahkan menerima laporan ancaman keselamatan melalui panggilan telefon tanpa nama.

“Pihak berkuasa berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Bomba segera dimaklumkan.

“Kami boleh mengesahkan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa yang berkaitan sedang berjalan dan kami membantu mereka.

“Kami telah diarahkan oleh pihak berkuasa untuk mengosongkan kawasan yang terjejas sebagai langkah proaktif. Pihak pengurusan pusat membeli-belah membantu dalam kelancaran pemindahan Pusat Beli-belah dan hotel.

“Keselamatan tetamu, pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti kami tetap menjadi keutamaan kami,” kata pengurusan The Mall, Mid Valley Southkey (the Mall) dan St. Giles Hotel Southkey (Hotel) pada satu hantaran di media sosial. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bukan bumiputera masuk UiTM: KPT masih pegang teguh Akta 173

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) masih berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditubuhkan menurut...

Lagi Artikel Berkaitan