JABATAN Imigresen Malaysia telah menggempur sebuah pusat karaoke berdekatan Jalan Imbi di ibu negara dan menahan 102 wanita warga asing atas pelbagai kesalahan, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, mereka terdiri daripada warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Myanmar berumur di antara 21 hingga 35 tahun.
Beliau berkata, turut ditahan, dua warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pemilik premis atau ‘penjaga’ kepada perempuan warga asing tersebut.
Katanya, pusat hiburan tersebut menawarkan langganan wanita warga asing berumur antara 20 hingga 30 tahun sebagai peneman berhibur dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM200 sejam bergantung kepada tempoh yang diinginkan pelanggan bermula 4 petang hingga 2 pagi.
“Ketika serbuan dibuat, wanita ini sedang leka melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing.
“Mereka dipercayai boleh mengaut keuntungan antara RM7,000 hingga RM25,000 sebulan melalui kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Jafri berkata, serbuah dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama seminggu.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk penyalahgunaan pas lawatan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Kesemua warga asing yang ditahan ini ditempatkan Depot Tahanan Imigresen untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Bagi pemilik premis pula, mereka juga dikenakan tindakan kerana disyaki melindungi dan menggaji pendatang di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63. – Edisi 9

