Thursday, June 4, 2026

10 gadis bawah umur mangsa eksploitasi seks diselamatkan

Mereka antara 53 wanita warga asing berusia 18 hingga 40 tahun yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran yang ditawarkan kepada pelanggan melalui aplikasi media sosial.

Mesti Baca

SEBANYAK 10 gadis di bawah umur yang menjadi mangsa eksploitasi seks dan penipuan pekerjaan berjaya diselamatkan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah premis spa dan pusat urut di Johor Bahru, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka terdiri daripada empat gadis warga Indonesia manakala enam lagi merupakan warga Vietnam.

Beliau berkata, mereka antara 53 wanita warga asing berusia 18 hingga 40 tahun yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran yang ditawarkan kepada pelanggan melalui aplikasi Wechat dan Whatsapp.

“Bayaran yang dikenakan dianggarkan antara RM200 hingga RM300 sejam, bergantung kepada pakej dan tempoh perkhidmatan.

“Wanita-wanita ini dipercayai mampu meraih keuntungan sehingga RM5,000 hingga RM10,000 sebulan hasil kegiatan tidak bermoral tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penguat kuasa Imigresen memecahkan pintu sebelum menyerbu sebuah spa dan pusat urut di Johor Bahru semalam.

Zakaria berkata, turut ditahan 11 lelaki warganegara Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang dipercayai berkerja sebagai pekerja pembersihan di premis tersebut.

Manakala serta tujuh lelaki warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pemilik premis, kapten atau ‘penjaga’ kepada wanita warga asing terbabit turut ditahan.

Katanya, sewaktu serbuan dijalankan pada 3.15 petang, beberapa wanita warga asing didapati sedang melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing.

“Pasukan operasi telah menemui sebahagian besar daripada mereka bersembunyi dalam sebuah bilik rahsia di premis itu yang dipercayai disediakan khusus bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Turut ditemui, wang tunai berjumlah RM128,464 dipercayai hasil kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, gadis-gadis di bawah umur terbabit dipercayai menjadi mangsa penipuan pekerjaan, tidak dibayar gaji atau upah, pergerakan mereka dikawal manakala pasport yang dipegang telah diselamatkan.

Zakaria berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670).

Mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan sementara siasatan dijalankan manakala kesemua warga asing yang lain ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut di bawah peruntukan Akta Imigresen 1969/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala ‘kapten’ turut disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670), Seksyen 12(1)f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670], sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 30 tahun atau penjara seumur hidup serta sebatan.

‘Hukuman lebih berat turut dikenakan terhadap ejen atau majikan yang terlibat dalam pemerdagangan orang,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan