BEREGU lelaki meningkat naik, Arif Junaidi-Yap Roy King menjadi wakil tunggal negara mara ke separuh akhir badminton Masters Orleans selepas jaguh-jaguh negara lain tumbang satu-persatu di Palaks des Sports, Perancis awal pagi ini.
Arif-Roy King berjaya menumbangkan pilihan keempat kejohanan dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-19, 21-18 dalam masa 36 minit.
Turun selaku pilihan kelapan, Arif dan Roy King berusaha keras menyaingi lawan tu sebelum mula menguasai pertengahan permainan.
Biarpun Jhe Huei-Po Hsuan cuba mengejar pada penghujung set pertama, Arif dan Roy King kekal tenang untuk mencatatkan kemenangan 21-19.
Aksi kian sengit dalam set kedua tetapi sebaik mengikat kedudukan 14-14, Arif dan Roy King tidak pernah ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 21-18 selepas secara keseluruhan bertarung selama 36 minit.
Mereka seterusnya akan bertemu beregu pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, bagi penentuan ke final hari ini.
Sementara itu, perseorangan utama negara Lee Zii Jia gagal meneruskan cabaran apabila tunduk kepada pemain tidak ternama dari Ireland, Nhat Nguyen 21-23, 7-21 di peringkat suku akhir.
Turun sebagai pilihan pertama kejohanan, Zii Jia ternyata hilang fokus terutama para set kedua apabila memberi kemenangan mudah kepada pemain ke-42 dunia itu.
Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah juga gagal meneruskan cabaran setelah ditewaskan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-15, 21-19.
Satu lagi beregu wanita, Goh Pei Kee-Teoh Mei Xing juga gagal meneruskan kemaraan apabila ditunjuk jalan keluar oleh Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.
Beregu dari Korea Selatan itu menang dengan “straight-set” 21-13, 21-11 dalam masa 36 minit dalam pertemuan pertama mereka.
Sementara itu kecederaan buku lali yang dialami Cheng Su Yin memaksa dia dan pasangannya, Hoo Pang Ron menarik diri daripada meneruskan cabaran di suku akhir.
Masters Orleans boleh dikatakan aksi pemanas badan sebelum bermulanya kejohanan lebih berprestij, All England yang akan berlangsung minggu depan. – Edisi 9

