Sunday, June 14, 2026

Zahid selar pihak pertikai pendirian kerajaan pertahan Islam 

Kita tidak mahu individu atau kumpulan berfahaman kanan atau kiri menggunakan isu agama untuk merungkaikan keharmonian yang sedia wujud di negara kita

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan pihak tertentu yang mempertikai pendirian kerajaan dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta parti komponen Kerajaan Perpaduan juga mendukung dan berpegang kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, jangan ada pihak yang menuding jari atau mempertikai pendirian kerajaan dalam hal ini.

“Kita tahu soal agama ini adalah sensitif dan kita tidak mahu ada tangan atau jari yang menuduh kerajaan tidak mengambil peduli mengenai perkara ini, terutamanya apabila dalam isu mempertahankan Islam,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Rantau Panjang, di Masjid Tanah,  Melaka hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO membidas sikap sesetengah pemimpin politik yang menggunakan isu agama untuk merungkai keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Apa pun agama yang diamalkan rakyat negara ini haruslah dihormati seperti yang disebut dalam al-Quran bahawa setiap daripada manusia perlu menghormati agama lain.

“Kita tidak mahu, sama ada seorang individu atau kumpulan berfahaman kanan atau kiri menggunakan isu agama untuk merungkaikan keharmonian yang sedia wujud di negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, Zahid berharap siasatan dilakukan secara adil dan profesional.

Beliau berkata, sebagai individu yang pernah melalui keadaan bila mana kesnya dibawa ke mahkamah dan berdepan dengan pelbagai tuduhan ran tohmahan, namun akhirnya mahkamah memutuskannya tidak bersalah.

“Harap perkara sama dapat berlaku (terhadap Ismail Sabri) di mahkamah (nanti). Itu harapan untuk SPRM,” katanya.

Semalam, UMNO mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden UMNO itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengaitkan, menuduh dan mencipta persepsi bahawa UMNO mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan bahawa Ismail Sabri adalah suspek bagi kes penemuan wang tunai pelbagai matawang asing berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai RM7 juta di sebuah safehouse.

Penemuan itu hasil siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan Perdana Menteri Kesembilan itu yang ditahan SPRM sebelum ini. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan