Sunday, June 14, 2026

Terbuka India: Lima beregu negara tempah slot suku akhir

Mesti Baca

PARA pemain beregu negara terus mempamerkan sinar di awal tahun 2025 apabila lima pasangan berjaya menempatkan diri masing-masing di peringkat suku akhir badminton Terbuka India hari ini.

Kecemerlangan para pemain kebangsaan bermula apabila pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai menundukkan beregu tidak ternama Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi 21-10, 19-21, 21-16 dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Indra Gandhi, New Delhi.

Di peringkat suku akhir esok dalam kejohanan siri Super 750 itu, Soon Huat-Shevon akan dicabar oleh beregu yang ditewaskan mereka dalam kesemua empat perlawanan sebelum ini iaitu Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan.

Kemaraan pasangan suami-isteri itu kemudian diiringi oleh Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mengenepikan ‘finalist’ Terbuka Malaysia minggu lalu dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 19-21, 21-12, 22-20.

Esok, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan satu lagi beregu dari Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat di peringkat suku akhir.

Turut melangkah ke suku akhir ialah beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M.Thinaah yang mendapat kemenangan mudah berdepan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.

Pasangan negara yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu, hanya bertarung sembilan minit apabila pasangan di ranking 75 dunia dari China itu menarik diri pada kedudukan Pearly-Thinaah sedang mendahului 14-4.

Lawan yang akan mereka hadapi ialah Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun, yang pernah menewaskan mereka di peringkat 32 pada kejohanan Terbuka Jepun tahun lalu.

Sementara itu, dua beregu lelaki negara bakal mengisi dua slot ke suku akhir apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyingkirkan Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China dengan 21-10, 21-18.

Satu lagi slot bakal diisi sama ada pasangan Nur Izzuddin Rumsani-Gog Sze Fei atau Junaidi Arif-Roy King Yap yang bertemu sesama sendiri di peringkat pusingan 32 hari ini.

Perlawanan akan bermula 2.30 petang waktu Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan