27.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, February 15, 2025

Gencatan senjata di Gaza dan usaha berterusan Malaysia

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

BERITA gencatan senjata di bumi Gaza disambut dengan penuh kegembiraan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Ibarat ‘ada sinar di hujung terowong’, simbolik kepada harapan yang muncul kembali setelah sekian lama rakyat Palestin berada dalam derita dan sengsara akibat cengkaman Zionis Israel yang berpanjangan.

Sejak memegang tampuk kepimpinan negara pada tahun 2022, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengambil pelbagai langkah signifikan bagi memastikan sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin tidak hanya sekadar retorik, tetapi diterjemahkan kepada tindakan nyata dan proaktif.

Malahan setiap kali bertemu para pemimpin dunia, isu Palestin di Gaza merupakan agenda yang tidak perlu diabaikan oleh Anwar, untuk dibincangkan.

Ini termasuk semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di Kuala Lumpur baru-baru ini dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer di Downing Street, London semalam.

Justeru gencatan senjata terbaharu yang bermula Ahad ini disambut baik oleh Perdana Menteri, yang dianggap sebagai satu kelegaan yang diperlukan oleh rakyat di bumi Gaza.

Anwar Ibrahim menerima kunjungan bekas pemimpin Palestin, Allahyarham Ismail Haniyeh di Putrajaya tidak lama dahulu.

Anwar memuji usaha yang dilakukan oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat dalam negosiasi damai demi perjanjian tersebut.

Bagi Anwar, gencatan senjata itu bukanlah penamat tetapi permulaan kepada langkah-langkah lebih besar yang bakal membawa keamanan yang berkekalan.

“Komuniti antarabangsa mesti memastikan bahawa ia dipatuhi, membuka jalan untuk perbincangan mengenai fasa-fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan yang berpanjangan dan pembinaan semula Gaza,” katanya dalam kenyataannya, semalam.

Justeru, beliau akan menghubungi Ishiba untuk mempercepatkan pelan pembinaan semula Palestin sepertimana yang dipersetujui semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Jepun itu ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Langkah ini menunjukkan Malaysia terus berusaha memastikan nasib rakyat Gaza dan Palestin terbela dengan kerjasama pelbagai pihak antarabangsa.

Kepimpinan aktif Malaysia menjadi bukti bahawa negara ini benar-benar komited dalam memperjuangkan keadilan sejagat.

Sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin bukan hanya melalui hubungan diplomatik, tetapi juga bantuan kemanusiaan yang tidak pernah putus selama ini.

Ini dilihat melalui pelbagai bantuan kemanusiaan berupa kewangan, perubatan dan logistik kepada rakyat Palestin.

Advertisements

Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada pelbagai dialog dan persidangan yang memberi fokus kepada mencari penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.

Usaha ini menunjukkan kesungguhan negara dalam memastikan suara rakyat Palestin terus didengar dan hak mereka untuk mendirikan sebuah negara berdaulat tidak dipinggirkan.

Melalui kerjasama dengan rakan-rakan dari Asia Timur, Malaysia turut memastikan proses pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

Berita gembira mengenai gencatan senjata ini memberi harapan baharu kepada rakyat Palestin, bagaikan sinar mentari yang menyinari selepas badai yang hebat.

Dalam setiap senyuman dan air mata mereka, terselit perasaan syukur yang mendalam dalam diri setiap umat Islam di dunia ini.

Hal ini dapat dilihat menerusi media sosial yang sering mengemaskini keadaan rakyat Palestin secara langsung supaya dunia mengetahui apa yang terjadi pada mereka saban hari.

Salah satu laman Instagram yang terawal memuat naik tentang kejayaan rundingan tersebut ialah Cintagaza, di mana dapat dilihat kanak-kanak melompat kegirangan sejurus berita gencatan senjata tersebut sampai kepada mereka.

Gencatan senjata ini bukan hanya membawa kelegaan fizikal, tetapi juga menyuntik semangat perjuangan dan harapan kepada mereka yang sekian lama terhimpit oleh konflik yang berpanjangan.

Ia menjadi satu tanda bahawa doa dan usaha mereka tidak sia-sia, malah membuktikan bahawa keamanan yang diidamkan mungkin bukan lagi sekadar angan-angan. 

Seperti kata Perdana Menteri, gencartab senjata yang bakal dilaksanakan adalah batu loncatan kepada matlamat jangka panjang demi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat, dan lestari dan Malaysia terus komited untuk memainkan peranan aktif dalam mencapai perdamaian yang adil dan berkekalan.

Adalah sangat penting untuk kita menginsafi kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin dan pengusiran lebih dua juta orang yang tidak berdosa.

Tragedi ini tidak boleh dan tidak harus dilupakan. Keadilan dan pertanggungjawaban terhadap segala tindakan yang dilakukan semasa konflik ini adalah amat penting.

Keamanan yang adil dan berkekalan hanya dapat dicapai jika punca sebenar konflik ini ditangani dengan berkesan.

Apapun seluruh rakyat Malaysia boleh berbangga dengan kepimpinan negara yang sentiasa memperjuangkan isu kemanusiaan global.

Detik ini menjadi bukti bahawa prinsip Malaysia Madani yang menekankan keadilan, kemanusiaan, dan solidariti sejagat benar-benar memberi impak besar kepada dunia.

Semoga perjuangan rakyat Palestin terus diberkati dan keamanan yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka jua, Alhamdulillah! – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiga langkah Malaysia pastikan ASEAN kekal bersaing

MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN tahun 2025 perlu melaksanakan tiga langkah utama jika mahu memastikan rantau ini terus kekal bersaing. Pensyarah...

Lagi Artikel Berkaitan