KESEMUA anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan aset berlaku.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan Malbatt 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan, telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.
“Mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khaled berkata, sebarang perancangan untuk penarikan balik pegawai dan anggota pasukan Malbatt 850-11 ke Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di dalam kawasan operasi.
Katanya, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan akan mengemas kini sebarang perkembangan melibatkan pasukan Malbatt 850-11.
Sejak 23 September lepas, tentera Israel telah melancarkan serangan udara intensif yang belum pernah berlaku ke atas Lubnan. – Edisi 9