JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) telah menangkap 108 individu yang disyaki terlibat dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) atas pelbagai kesalahan berkaitan dengan jenayah syariah meliputi perkara berkaitan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siri tangkapan tersebut dijangka berterusan melibatkan suspek-suspek yang disyaki dan telah dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh pihaknya.
Beliau berkata, sehingga kini, hasil siasatan terhadap 108 suspek, JAIS mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
“(Ini) termasuklah amalan mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.
“Mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Alah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahrizan berkata, siasatan juga mendapati perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin kumpulan dan menjalankan akad perkahwinan dengan cara ditentukan oleh pemimpin.
Katanya, dapatan siasatan juga menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.
“Situasi dan keadaan ini telah menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).
“Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak.
“Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah,” katanya.
Pada masa yang sama, kata beliau, JAIS bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara dan agensi berkaitan untuk mengena pasti salasilah (family tree) sebahagian besar dari 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global. – Edisi 9