27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Telegram didakwa sekat saluran dikaitkan dengan Hamas

Mesti Baca

APLIKASI komunikasi Telegram didakwa menyekat beberapa saluran yang dikaitkan dengan pejuang Palestin, Hamas.

Antaranya adalah akaun rasmi Hamas, akaun sayap bersenjatanya Briged Qassam dan akaun berita Gaza Now yang kini tidak boleh diakses pada versi Telegram yang dimuat turun dari Google Play atau App Store Apple, sejak minggu lalu.

Akaun itu sebelum ini mengumpulkan ratusan ribu pengikut baharu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, namun difahamkan ia masih boleh diakses melalui versi dalam talian Telegram dan versi aplikasi yang dimuat turun terus dari laman web Telegram.

Walaupun Telegram tidak mengulas secara terbuka mengenai alasan tindakan sekatan itu, ia didakwa berlaku selepas kumpulan pelobi menentang ‘pergerakan anti-Israel’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Zachor Legal Institute menulis surat kepada Apple dengan menunjukkan tujuh akaun dikaitkan dengan Hamas yang boleh diakses pada iOS meskipun ia disekat untuk pengguna Android.

Apple dan Telegram bagaimanapun tidak menjawab ketika diminta mengulas.

Namun Google memberitahu Al Jazeera dalam satu kenyataan bahawa Google Play mahukan aplikasi yang tidak terlalu mempamer ‘kandungan mengerikan, termasuk kandungan yang mempromosikan tindakan pengganas, menghasut keganasan atau meraikan serangan pengganas’.

Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza dianggap organisasi ‘pengganas’ oleh AS, Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Jepun dan Paraguay.

Aplikasi Telegram banyak digunakan oleh Hamas untuk mempromosikan mesejnya dan menyiarkan video dalam masa nyata.

Selain itu, kumpulan bersenjata lain seperti ISIL (ISIS) dan al-Qaeda juga turut menggunakan aplikasi yang terkenal dengan sikap lepas tangan dalam mempromosikan ideologi dan serangan.

“Telegram berfungsi kepada Hamas sejak hari itu dan tidak mempunyai dasar kesederhanaan malah peraturan longgar ini membenarkan kumpulan tertentu memuat naik rakaman grafik pembunuhan beramai-ramai dan kemudian kandungan itu akan ditapis ke tempat lain di internet seperti X,” kata seorang editor bersekutu di Makmal Penyelidikan Forensik Digital Majlis Atlantik, Layla Mashkoor kepada Al Jazeera.

Saluran rasmi Briged Qassam dan Hamas masing-masing mengumpul tambahan pengikut hampir setengah juta dan 100,000 pelanggan, selepas serangan 7 Oktober lalu, manakala Gaza Now, yang didakwa ‘sejajar dengan Hamas’ oleh Majlis Atlantik juga meningkat pengikutnya daripada 343,506 kepada hampir 1.9 juta orang.

Advertisements

Bagaimanapun apabila sekatan terhadap versi Google Play dan App Store Telegram, saluran itu dikesan kehilangan antara 10,000 ke 80,000 pelanggan.

Mashkoor berkata, walaupun status Hamas sebagai kerajaan Gaza membezakannya daripada kumpulan bersenjata seperti ISIL, kedua-duanya dikesan tetap berkongsi kandungan sedemikian melalui saluran seperti Telegram.

“Fakta adalah fakta dan mereka secara rasminya adalah kumpulan perwakilan untuk Gaza dan itu memang menuntut perbincangan mengenai cara kita melayan pemimpin atau pegawai negeri perlu dipertimbangkan.

“Tetapi sudah tentu elemen lain yang perlu dipertimbangkan adalah mengenai imej sebenar dan keganasan serta bagaimana anda mengimbanginya, yang menjadi perkara yang sangat sukar untuk ditentukan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov sebelum ini mempertahankan dasar sederhana platform itu, dengan alasan bahawa ia akan memberi maklumat berharga mengenai perang Israel-Palestin dan kurang berkemungkinan dalam penyebaran kandungan berbahaya berbanding pesaing, kerana pengguna mesti mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Tidak mungkin saluran Telegram boleh digunakan untuk menguatkan propaganda dengan ketara.

“Ia berfungsi sebagai sumber pertama untuk penyelidik, wartawan dan pemeriksa fakta. Walaupun mudah bagi kami untuk memusnahkan sumber maklumat ini, berbuat demikian berisiko memburukkan lagi keadaan yang sudah teruk,” kata Durov dalam catatan di Telegram awal bulan ini, yang turut berkata, moderatornya mengeluarkan jutaan kandungan berbahaya setiap hari.

Hamas dilihat tidak berdiam diri mengenai kemungkinan akan diharamkan daripada Telegram dan sudah memberitahu pengikutnya untuk memuat turun aplikasi khas yang khusus.

Mengulas perkara itu, Mashkoor berkata, saluran yang lebih kecil mampu menyebarkan maklumat yang boleh memastikan mesej terus disebarkan walaupun Telegram bertindak keras terhadap kumpulan itu.

“Kebanyakan platform mempunyai dasar terhadap menaja kandungan daripada organisasi pengganas yang ditetapkan, jadi usaha untuk mengawal penyebaran kandungan ini akan sentiasa bermula di saluran sumber,” katanya. -Agensi

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan