SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung permohonan MCMC mendapatkan perintah injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan aplikasi Telegram.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi larangan sementara yang melarang pihak defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas dan pihak Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan sebagaimana dinyatakan dalam tuntutan MCMC.
“Keputusan ini selaras dengan peranan MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan platform digital tidak disalahgunakan,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan pihaknya akan terus memantau pematuhan terhadap perintah berkenaan manakala isu-isu lain yang terkandung dalam tindakan undang-undang akan diputuskan pada perbicaraan penuh kelak.
“MCMC kekal komited memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya dan ancaman penyalahgunaan,” menurut kenyataan itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan injunksi bagi menghalang aplikasi pesanan Telegram daripada menyebarkan kandungan memudaratkan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta mengancam ketenteraman masyarakat.
Bagaimanapun, Hakim Mahazan Mat Taib menolak permohonan SKMM untuk menghalang atau menutup akaun Telegram yang mungkin menyebarkan kandungan memudaratkan, dengan alasan mahkamah tidak boleh memaksa Telegram melakukan tapisan sendiri.

