MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan injunksi bagi menghalang aplikasi pesanan Telegram daripada menyebarkan kandungan memudaratkan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta mengancam ketenteraman masyarakat.
Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan perintah larangan itu dalam saman yang difailkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Telegram Messaging Inc, pemilik aplikasi berkenaan.
FMT melaporkan, perintah itu akan berkuat kuasa sehingga penyelesaian saman MCMC.
Dalam penghakimannya, Mahazan berkata, MCMC berjaya membuktikan bahawa Telegram terlibat dalam penyebaran kandungan bersifat menghina yang menyasarkan agensi kerajaan, badan penguat kuasa dan anggota pentadbiran.
Bagaimanapun, beliau menolak permohonan MCMC untuk menghalang atau menutup akaun Telegram yang mungkin menyebarkan kandungan memudaratkan, dengan alasan mahkamah tidak boleh memaksa Telegram melakukan tapisan sendiri.
Mahkamah pada 24 September ini akan mendengar satu lagi permohonan SKMM untuk kebenaran membawa prosiding komital terhadap Telegram.
Permohonan itu dibuat atas dakwaan bahawa platform berkenaan gagal mematuhi salah satu terma injunksi ex-parte yang dikeluarkan pada 17 Julai lalu.
Peguam SN Nair dan Wong Guo Jin mewakili MCMC manakala Daniel Bock mewakili Telegram.
Pada 19 Jun, MCMC mengumumkan pihaknya menyaman Telegram serta dua salurannya, Edisi Siasat dan Edisi Khas kerana didakwa menyebarkan kandungan memudaratkan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan mengancam ketenteraman masyarakat.
Kedua-dua saluran tanpa nama itu terkenal dengan pendedahan ala pemberi maklumat yang lazimnya menyasarkan institusi awam dan agensi penguat kuasa.
Walaupun tidak rasmi, hantaran mereka sering mendapat perhatian dan mencetuskan perdebatan awam.

