Thursday, June 4, 2026

Malaysia kutuk serangan udara Israel ke atas Doha

Serangan kejam ini bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam, malah menggugat keamanan rantau yang sudah sedia rapuh - Anwar Ibrahim

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk dan mengecam tindakan Israel melancarkan serangan udara ke atas Doha, ibu negara Qatar, semalam.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai satu tindakan agresif yang tidak berperikemanusiaan, serta pelanggaran nyata terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat dan pencabulan serius undang-undang antarabangsa.

“Serangan kejam ini bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam, malah menggugat keamanan rantau yang sudah sedia rapuh.

“Tindakan Israel jelas menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati usaha diplomasi serta perdamaian, khususnya apabila Qatar berperanan penting sebagai pengantara dalam konflik Asia Barat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malaysia, tegas beliau, berdiri teguh bersama Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah segera untuk mempertanggungjawabkan Israel atas tindakan biadab tersebut.

Dalam pada itu, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden berkenaan, namun menasihatkan warganegara di Qatar supaya sentiasa berwaspada.

Serangan tersebut mengorbankan enam orang termasuk anak lelaki pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya selain seorang pegawai, pengawal peribadi dan pengawal keselamatan Qatar.

Tindakan ganas Israel itu didakwa ditujukan kepada pemimpin politik Hamas di Doha yang dikatakan menghadiri mesyuarat bagi membincangkan pelan gencatan senjata Amerika Syarikat (AS).

Serangan tersebut telah mendapat kecaman para pemimpin dunia. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan